ACL 2019: Ketua jurulatih Gyeongnam FC anggap JDT bernasib baik kalah tipis di tangan Kashima Antlers

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Gyeongnam FC, Kim Jong-boo nyata kagum dengan keupayaan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu memberikan saingan sengit dan sekadar mencatatkan kekalahan tipis kepada juara bertahan Liga Juara-Juara AFC (ACL), Kashima Antlers dalam perlawanan yang berlangsung pada minggu lalu.

Bagaimanapun, setelah diamati, beliau menganggap JDT sekadar bernasib baik berjaya mencatatkan keputusan sedemikian kerana wakil dari Jepun menurunkan beberapa pemain simpanan dalam perlawanan tersebut.

Namun demikian, pengendali berusia 54 tahun ini menegaskan pasukannya tetap tidak akan memandang rendah akan keupayaan Harimau Selatan pada malam ini, lebih-lebih lagi status mereka selaku pasukan terbaik dalam kancah bola sepak negara.

“Ya pasukan JDT tampil buat pertama kali dalam kancah ACL dan kami juga serupa JDT dan ia pasti perlawanan menarik namun kami tidak boleh terlalu yakin sebaliknya harus berhati-hati kerana lawan kami adalah kelab terbaik di Malaysia.

“Malah keupayaan JDT tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antler yang merupakan juara bertahan agak mengejutkan. Bagaimanapun kami anggap JDT bernasib baik kerana saya melihat rakaman perlawanan itu dan kelab dari Jepun itu tidak menurunkan kesebelasan utama.” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Mengulas mengenai perlawanan pada malam ini, beliau komited menyasarkan untuk mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan ACL 2019 selepas sekadar mencatatkan seri ketika menentang wakil China, Shandong Luneng dalam aksi pertama Kumpulan E selasa lalu.

“Kami turun ke Johor Bahru dengan satu misi, iaitu menang dan ketika aksi Liga 1 Korea apabila tewas 2-1 kepada Incheon United, saya tidak menurunkan barisan terbaik kerana mahu beri tumpuan pada aksi ACL dan untuk menentang JDT pastinya barisan terbaik akan diturunkan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau melihat kehadiran Diogo Luis Santo dan Mauricio yang ditandatangani JDT sebelum permulaan musim 2019 telah menunjukkan tekad buat pasukan juara lima kali berturut-turut Liga Super Malaysia untuk memberikan saingan dalam kancah elit bola sepak asia pada musim ini.

Manakala, pemain tengah yang pernah beraksi bersama Kelantan dan Terengganu FC, Do Dong Hyun juga berkongsi sedikit sebanyak maklumat mengenai kelemahan dan kekuatan JDT. Menurut informasi berkenaan, beliau juga sedia maklum bahawa JDT turut dikuatkan dengan beberapa pemain skuad kebangsaan yang berpengalaman di pentas antarabangsa.

Turut diulas oleh ketua jurulatih Gyeongnam FC adalah mengenai cuaca panas di Malaysia. Beliau menjelaskan pemain-pemainnya tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut memandangkan mereka telah melakukan persiapan pra-musim di negara jiran, Thailand pada awal tahun ini.

“JDT juga melakukan pelaburan yang besar untuk mendapat pemain import yang terbaik dan saya akui pasukan itu tidak boleh diperlekehkan namun kami akan tetap beri tentangan untuk mencari kemenangan pertama.

“Mengenai faktor cuaca yang panas, ia bukanlah penghalang kerana kami berpengalaman menjalani latihan pra-musim di Thailand, Januari lalu dan bagi saya faktor bukan masalah besar buat pemain,” jelasnya.

Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Comments