Keputusan MFL bantu Perak siapkan skuad terbaik gegar Ulsan Hyundai

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Football League (MFL) kerana meluluskan permohonan mereka untuk menunda perlawanan Liga Super Perak menentang Kuala Lumpur pada 15 Februari ke satu tarikh lain.

Perak akan menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Asian Champions League (ACL 2019) pada 19 Februari depan dan Mehmet  berpendapat keprihatinan ditunjukkan MFL yang memahami jadual padat dilalui pasukan itu sebagai satu motivasi tambahan kepada pasukannya yang perlu membuat persiapan rapi.

Tambah pengendali dari Australia itu, penundaan perlawanan ini mustahak kepada Perak memandangkan mereka perlu mengharungi satu hari perjalanan ke Ulsan selain pemain cukup kepenatan selepas beraksi selama 120 minit menentang Kitchee, Selasa lalu.

“Saya cukup risau bagaimana kami akan bertemu Kuala Lumpur bila lihat keadaan pemain turun jalani latihan pada pagi ini kerana belum cergas selain hanya beri tumpuan proses pemulihan semata-mata.

“Jadi, sebaik ketahui berita ini (tunda perlawanan) sejurus selepas sesi latihan tadi, saya ucapkan syukur dan ini merupakan satu berita gembira bukan sahaja buat saya tetapi seluruh pemain.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MFL kerana sudi beri kelonggaran kepada Perak selain persetujuan pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) serta pihak-pihak lain yang sudi membantu.

“Perlawanan dengan Ulsan Hyundai ini amat besar ertinya buat Perak kerana kami juga mahu ikut jejak langkah JDT (Johor Darul Takzim) bermain di pentas ACL 2019. Jika kami berjaya ia satu kebanggaan buat Malaysia,” katanya.

Justeru itu,  Mehmet juga yakin dia dapat menurunkan barisan kesebelasan terbaik untuk mengegar Ulsan Hyundai meskipun sedar juara Liga Juara-Juara Asia tahun 2012 itu hadir dengan reputasi tinggi.

“Lawan kami sememangnya antara yang terbaik di Asia malah mereka saya difahamkan mereka punyai 48 pemain berdaftar, satu jumlah cukup besar hendak dibandingkan dengan kami. Namun, dengan situasi terbaharu ini, saya yakin boleh turunkan semua pemain terbaik yang saya ada ketika di Ulsan nanti, ” katanya.

Sebagai rekod,  pada perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL 2019 di Ipoh, Selasa lalu, Perak berjaya mengalahkan kelab Hong Kong, Kitchee SC menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa tambahan.

PAFA selepas itu telah membuat permohonan bagi meminda perlawanan ketiga Liga Super bertemu Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dengan mengambil kira kepentingan buat bolasepak tanah air dan sokongan kepada Perak yang membawa nama negara di pentas ACL, perlawanan itu akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Foto : Google

Comments