MotoGP: SuperKIP Lulus Ujian Pertama Bersama Petronas Sprinta

Naim Jaya Naim Jaya

Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengakui beliau sudahpun mempelajari banyak perkara mengenai jentera barunya selepas menjalani sesi ujian tertutup bersama krew pasukannya di Litar Antarabangsa Sepang selama tiga hari pada minggu ini.

Pelumba Petronas Sprinta Racing yang kini di musim keempatnya di saingan kelas pertengahan itu akan menggunakan jentera Kalex yang dibekalkan dengan enjin daripada pengeluar British, Triumph buat pertama kalinya musim ini selepas menggunakan enjin Honda pada musim-musim sebelumnya.

Walaupun ini adalah kali pertama beliau mengggunakan jentera tersebut bersama pasukan barunya, pelumba muda negara itu sudahpun mula mendapatkan momentum dan perkembangan positif sudahpun mula dicapai beliau dan juga pasukan.

“Saya semakin selesa bersama motosikal saya dan kami berjaya memperbaiki daripada setiap sudut, seperti tetapan elektronik dan pelarasan asas yang akan digunakan oleh jentera.

“Hal ini sangat membantu kami dalam memperbaiki catatan masa dan rentak kami sejak dari hari pertama ujian.

Manakala, Pengarah Pasukan Petronas SRT, Johan Stigefelt turut senada dengan pelumba muda itu dalam perkembangan yang dilakukan oleh pasukan Moto2 itu.

“Mereka melakukan kerja yang sangat baik sepanjang tiga hari yang lalu.

“Seperti yang kita ketahui, motosikal ini adalah masih baru, sangat berbeza dengan apa yang kami gunakan sebelum ini di Moto2, jadi ianya sangat penting buat kami untuk datang ke sini (Sepang) dan mencuba beberapa perkara baru untuk melihat bagaimanya ianya bertindak balas.”

“Saya sangat berpuas hati dengan kerja yang dilakukan oleh seluruh ahli pasukan dan sudah pasti ianya sangat menarik untuk melihat apa yang kami boleh lakukan daripada sesi ujian ini dan menggunakan ujian seterusnya di Jerez”.

Sesi ujian seterusnya yang bakal dilalui oleh Khairul Idham Pawi dan pasukannya adalah di Jerez pada 20 sehingga 22 Februari ini yang bakal disertai oleh semua pasukan Moto2 dan juga Moto3.

Comments