Selamat Hari Kekasih kepada pencinta bolasepak

Hari ini adalah hari meraikan cinta di seluruh dunia. Hari yang khusus untuk meraikan rasa kasih dan sayang pada pasangan masing-masing.

Rasa cinta itu satu perasaan yang universal. Ia perasaan yang boleh timbul kepada pasangan kekasih, anak, ibu bapa dan rakan-rakan. Tetapi ini laman sukan jadi sudah tentu kita perlu bercakap mengenai rasa cinta kepada sukan terutamanya bolasepak.

Cinta kepada bolasepak ini boleh diterjemah kepada banyak perkara, tetapi lebih baik kita tumpukan kepada aspek sayang kepada pasukan. Cinta kepada sesuatu pasukan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipaksa. Ianya muncul tiba-tiba. Boleh jadi ketika anda menyaksikan satu perlawanan di kaca tv ketika kecil, atau mendengar kisah-kisah pemain dan pasukan daripada bapa anda. Sama seperti cinta kepada manusia, ayat “cinta itu buta’ juga boleh digunakan dalam bolasepak. Kalau tidak, bagaimana kita boleh jatuh cinta kepada pasukan yang beribu batu jauhnya dari tempat kita tinggal?

Cinta perlukan pengorbanan, begitu juga dengan bolasepak. Kita mengorbankan masa, wang dan tenaga demi pasukan kesayangan. Kita sanggup berhabis wang membeli tiket, jersi dan segala macam demi pasukan. Dan sama seperti cinta, menyokong pasukan ada turun naiknya. Ada masa kita marah pada pasukan kita, ada masa kita menangis kerana pasukan kita, tetapi di sebalik semua perasaan negatif itu, kita tetap sayang pada pasukan kita.

Jadi kepada semua pencinta bolasepak, raikanlah hari ini dengan meluahkan juga rasa sayang anda kepada pasukan kegemaran. Jangan malu dan segan kerana itulah lumrah kita sebagai seorang penyokong yang cintakan pasukannya. Selamat Hari Kekasih kepada anda semua!

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Pahang

Comments