Play-off ACL 2019: MFL lulus pindaan perlawanan KL vs Perak

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan permohonan pindaan perlawanan di antara Kuala Lumpur dan Perak pada hari esok (jumaat) diluluskan.

Sebelum itu, Perak FA yang menewaskan wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam satu perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 pusingan ke-2 disahkan bakal terbang ke Republik Korea untuk menentang Ulsan Hyundai pada pusingan play-off.

Dan perlawanan itu dijadualkan pada 19hb Februari, selasa hadapan dengan sepak mula pada jam 6.30 petang waktu Malaysia.

Dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) membuat permohonan kepada MFL untuk menunda perlawanan pada hari esok, menentang Kuala Lumpur FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melakukan persiapan awal untuk menentang pemenang tempat ke-3 K-League pada minggu hadapan.

Pasukan Perak telah membuat permohonan bertarikh 13 Februari kepada MFL bagi meminda perlawanan menentang Kuala Lumpur (LS3) bagi unifi Liga Super Malaysia 2019, 15 Februari ini.”

“Untuk makluman semua, dengan mengutamakan agenda bola sepak negara bermain di peringkat antarabangsa, perlawanan tersebut akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak”

“MFL memberi sokongan penuh dengan semangat kesukanan untuk melihat pasukan Perak berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dalam #ACL2019” siarnya menerusi laman sosial rasmi, Malaysian Football League.

Difahamkan, pindaan ini adalah untuk perlawanan ke-3 saingan Liga Super, pada minggu ini sahaja. Tiada sebarang ulasan mengenai pindaan perlawanan sepanjang musim ini jika Perak FA berjaya mengesahkan tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2019.

Foto Kredit: Perak TBG

Comments