Kim Swee bidas sikap kurang professional TFC II

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Dato’ Ong Kim Swee membidas sikap ditunjukkan pengurusan pasukan Terengganu FC II yang disifatkannya sebagai langsung tidak professional.

Bukan kerana pasukan itu tidak mahu melepaskan pemain pertahanan kanan Ridzuan Razali ke kem latihan pusat skuad B 22, tetapi Kim Swee terkilan kerana TFC mengambil sikap ‘buat tak tahu’ dan langsung tidak memberikan jawapan mengenai status pemain itu.

“Kalau mereka tak mahu lepaskan, itu hak mereka, ada juga pemain lain tak dilepaskan dan saya tidak memaksa pasukan berbuat demikian.

“Cuma, apa yang mengecewakan kita tidak dapat berkomunikasi dengan mereka, panggilan telefon mahupun mesej yang dihantar tidak berbalas, mereka tidak mengendahkan langsung dan itu bukan satu sikap yang bagus, bukan satu sikap professional.

“Tidak salah jika jawab permintaan kita, kata bahawa pemain ini tidak boleh dilepaskan, YES or NO dan tidak membuat kita menunggu atau tertanya tanya, saya akan terima apa sahaja keputusan mereka, ia bukan sesuatu yang susah,” ujar Kim Swee yang ditemui ketika sesi latihan hari kedua skuad B 22 negara yang dalam persiapan untuk beraksi di Kejuaraan AFF B 22 di Kemboja minggu depan.

Sebagai rekod, Ridzuan adalah salah seorang daripada tiga pemain yang dipanggil Kim Swee selain K.Thivandaran (PJ City) dan Danish Haziq Saiful Hisham (Negeri Sembilan) sebagai pengganti saat akhir kepada lima pemain yang tidak mendapat pelepasan pasukan masing masing iaitu Daniel Amier Norhisham, Zahril Azri Zabri (Felda United), Faisal Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) dan Fadzrul Daniel Mohd Nizam (Kedah).

Sementara itu, Thivandaran dan Danish Haziq melapor diri di kem latihan di Majlis Sukan Negara pada Isnin, menyertai 21 pemain lain dan Kim Swee dijangka membawa kesemua mereka beraksi di Kejuaraan AFF yang akan berlangsung dari 17 hingga 26 Februari melainkan ada yang mengalami kecederaan.

Skuad negara akan terbang ke Phnom Penh pada 15 Februari dan membuka tirai aksi Kumpulan B menentang tuan rumah pada 18 Februari, disusuli Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Pertandingan ini diadakan buat pertama kali selepas 2005 yang menyaksikan Thailand muncul juara ketika itu namun fokus Kim Swee bukanlah mengejar kejuaraan sebaliknya lebih terarah kepada pendedahan dan penilaian ke atas pemain sebelum mereka beraksi di Kejuaraan AFC B 23 di Kuala Lumpur pada bulan depan.

Foto : FAM

Comments