Liga Juara-Juara AFC: Pemain Perak teruja beraksi di peringkat tertinggi Asia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Menjelang perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2019 (AFC Champions League) di antara Perak FA dan Kitchee SC, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mendedahkan barisan pemainnya amat teruja menantikan perlawanan pada hari esok.

“Beraksi di peringkat tertinggi seperti ini memang menjadi idaman setiap pemain bola sepak.

“Saya percaya pemain Perak tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan ini,” ujarnya seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Perak yang juga juara Piala Malaysia 2018 telah diundi bertemu dengan juara Hong Kong Premier League 2017-18, Kitchee SC.

Pasukan yang berjaya meraih kemenangan akan layak ke pusingan play-off dimana pemenang tempat ke-3 Liga Korea (K-League), Ulsan Hyundai menanti mereka.

Mehmet sedia maklum, Kitchee SC bukanlah lawan yang mudah namun dengan Perak beraksi dihadapan penyokong sendiri, para pemainnya akan mendapat motivasi tambahan untuk memberikan persembahan yang cemerlang.

“Ia sememangnya perlawanan yang sukar dan saya menuntut aksi terbaik daripada setiap pemain.

“Saya berharap mereka dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk menghasilkan pencapaian terbaik,” katanya.

Beliau turut mengharapkan para penyokong dapat turun ke Stadium Perak beramai-ramai sekali lagi sepertimana perlawanan pada jumaat lalu, di antara Perak dan Kedah dalam saingan Liga Super.

“Saya berharap kami akan mendapat sokongan padu seperti ketika menentang Kedah.

“Hampir setiap ruang dipenuhi penonton,” tambahnya.

Namun, sedikit kegusaran diluahkan oleh pengendali dari Australia ini dalam sidang media praperlawanan Liga Juara-Juara AFC petang tadi, dimana dua tonggak utama The Bos Gaurus, Nazirul Naim Che Hashim dan Norhakim Hassan disahkan mengalami kecederaan.

“Kami bermain menentang dua pasukan handalan, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kemudian Kedah.

“Itulah harga yang perlu dibayar, namun mereka masih ada 48 jam untuk pulih.

“Saya akan tunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum membuat keputusan mengenai kedudukan mereka menjelang perlawanan itu,” katanya.

Foto Kredit: Perak TBG

Comments