Sarri Kecewa Pemain Chelsea Tidak Bermain Seperti Yang Dimahukan

Naim Jaya Naim Jaya

Selepas mengalami kekalahan memalukan kepada Manchester City dalam perlawanan awal pagi tadi, jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri tampil memberikan penjelasan mengenai kekalahan 6-0 itu.

“Saya tidak melihat mereka bermain bolasepak seperti yang saya mahukan (Sarri-ball). Mereka bermain mengikut cara orang lain buat masa sekarang.

“Tetapi apa sekalipun, saya mahukan mereka bermain mengikut cara saya dan bukan mengikut cara orang lain kerana jelas sekali mereka tidak bermain seperti saya inginkan pada malam ini.

Mengulas mengenai prestasi semasa pasukan  bimbingannya, Sarri juga mendedahkan segalanya berada di dalam keadaan yang terbaik walaupun mengakui agak sukar untuk memotivasikan pemain-pemain selepas perlawanan menentang Arsenal minggu lalu.

“Pada permulaan musim kami bermain dengan sangat baik di tempat lawan dan kini kami bermain dengan sangat baik di tempat sendiri. Sesuatu sedang berubah di dalam pasukan.

“Tahap motivasi kami berada dalam keadaan terbaik. Semasa sesi memanaskan badan juga segalanya berada dalam keadaan yang sangat baik. Malah, keseluruhan minggu ini, saya merasakan semuanya berada di dalam keadaan cemerlang.

“Kami memulakan perlawanan dengan agak baik sebelum melakukan kesilapan yang agak bodoh dengan melepaskan gol pertama selepas 4-5 minit permainan. Apa yang kami perlukan hanyalah untuk kekal fokus dalam permainan dan kami gagal melakukan perkara tersebut.

“Kami melakukan banyak kesilapan menentang pasukan yang kuat pada hari ini. Mereka juga bermain dengan sangat baik hari ini.

Sarri juga turut mencuri tumpuan dalam perlawanan tersebut apabila beliau dilihat enggan untuk berjabat dengan jurulatih City, Pep Guardiola selepas wisel penamat dibunyikan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan perkara tersebut adalah tidak disengajakan dan tidak berniat untuk mengelak daripada bertemu Pep.

“Saya tidak bertemu dengannya selepas perlawanan. Mungkin kerana ketika itu saya sedang menuju ke bilik persalinan. Kebiasaannya saya akan berjumpa dan menegur beliau.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Pep”.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada Isnin, skuad Chelsea bimbingan Maurizio Sarri tewas mengejutkan dengan jaringan enam gol tanpa balas kepada Manchester City dengan pemain berbisa mereka, Sergio Aguero berjaya mencipta hatrik selain turut dibantu dua jaringan dari Raheem Sterling dan satu jaringan daripada Ilkay Gundogan.

Comments