Bertembung dengan ‘Orang Besi’ kecederaan Wan Azraie semakin pulih

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pada perlawanan di antara Pahang dan Terengganu FC (TFC) sabtu lalu, penjaga gol TFC dilihat bertembung dengan penyerang bertubuh sasa Tok Gajah, Dickson Nwakaeme pada minit ke-13.

Pertembungan itu menyebabkan Wan Muhammad Azraie Wan Teh mendapat kecederaan di bahagian kepala termasuk di kawasan sekitar mukanya. Selang beberapa ketika kemudian, beliau dikeluarkan atas nasihat doktor pasukan, dan ketua jurulatih, Irfan Bakti memasukkan bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Ilham Amirullah.

Ketika itu, Dickson Nwakaeme dan Wan Azraie masing-masing meluru ke arah bola lintang hasil hantaran daripada Mohamadou Sumareh. Namun Dickson yang lebih pantas berjaya melakukan ‘tapping’ kepada bola tersebut untuk memberikan gol pendahuluan kepada Pahang.

 

Foto Kredit: Terengganu Football Club

Malangnya, berlaku perlanggaran di antara bahagian kepada Wan Azraie dengan kaki Dickson Nwakaeme, menyebabkan beliau beberapa kali dilihat terbaring dan kepeningan.

“Akibat insiden itu, saya gagal meneruskan permainan selepas kepala mula terasa pening sebelum meminta dikeluarkan bagi mengelak berlaku kecederaan lebih serius apatah lagi ketika itu pasukan ketinggalan,” kata Azraie seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Beliau yang juga merupakan bekas penjaga gol Pahang telah mendapatkan rawatan sejurus daripada perlawanan tersebut. Walaupun, masih terdapat kesan-kesan daripada kecederaan tersebut, Wan Azraie telah sihat untuk kembali menjalani latihan untuk perlawanan ke-3 Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya sudah pulih walaupun ada kesan lebam di bahagian kiri atas kepala dan berhampiran dengan kening selain di bibir atas dan bawah ada pecah sikit pada bahagian dalam.

“Saya sudah menjalani rawatan dan keadaan kembali baik, InsyaAllah, saya mampu beraksi bertemu dengan JDT Jumaat ini.

“Jika diberi peluang saya akan mempamerkan aksi terbaik sebagaimana sebelum ini apatah lagi pertemuan dengan skuad itu pastinya menjadi tumpuan peminat setia kedua-dua pasukan,” ujarnya lagi.

Foto Kredit: Terengganu Football Club

Comments