Liga Super ASEAN Watch: Rangkuman aksi pemain Asia Tenggara di Matchday 2

Tiga pemain Asean merasai nikmat kemenangan untuk aksi kedua Liga Super minggu lalu dengan pemain sayap Pahang, Saddil Ramdani terus menarik perhatian untuk membantu Tok Gajah membenam Terengganu. Ini rumusan aksi semua pemain Asia Tenggara yang beraksi pada minggu lalu.

Saddil Ramdani – Pahang FA

Saddil terus beraksi cemerlang dalam perlawanan keduanya di Liga Super Malaysia. Selepas menjaringkan gol dalam perlawanan pertamanya, pemain skuad kebangsaan Indonesia turut terlibat untuk membantu Pahang menjaringkan gol apabila sepakan penjurunya ditanduk masuk oleh Herold Goulon untuk gol kedua Pahang.

 

Hariss Harun – Johor Darul Ta’azim (JDT)

Selepas membantu JDT menjulang trofi Piala Sumbangsih pada minggu lalu, pemain kebangsaan Singapura ini membantu JDT menumbangkan Kuala Lumpur di Larkin. Hariss yang bertindak sebagai pemain yang akan mematahkan percubaan serangan balas Kuala Lumpur dan membolehkan pemain bek seperti Azrif dan Corbin Ong lebih banyak membantu serangan.

 

Patrick Reichelt – Melaka United

Kelincahan pemain sayap Filipina ini benar-benar mengucar-ngacirkan pertahanan PKNS FC. PKNS begitu sukar mengekang kelincahan Reichelt sehingga Rodney Celvin terpaksa mengasari Reichelt dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka United. Penalti tersebut telah disempurnakan oleh Safiq Rahim.

 

Shakir Hamzah – Kedah

Pemain pertahanan Singapura ini tidak berjaya menghadiahkan Lang Merah kemenangan kedua mereka daripada dua perlawanan. Beraksi menentang Perak dalam Northern Derby di Ipoh, Kedah sekadar seri 1-1 tetapi memang jaringan hasil rembatan padu Brendan Gan itu sukar dijangka.

 

Michael Nguyen – Selangor

Dua perlawanan tanpa kemenangan untuk pemain Vietnam ini bersama Selangor. Selepas terikat 1-1 dalam perlawanan menentang Felda United minggu lalu, Nguyen dan rakan sepasukannya terpaksa berhempas pulas untuk mengikat pendatang baru Liga Super, Petaling Jaya City 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

 

Joshua Grommen – Petaling Jaya City

Tewas dalam perlawanan pertama, Joshua dan rakan sepasukannya berjaya mengikat Selangor 1-1 dalam perlawanan kedua mereka. Pemain Filipina ini yang beraksi dalam formasi tiga pemain pertahanan hampir berjaya mengejutkan Selangor sebelum Red Giants dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 yang disempurnakan Rufino Segovia.

 

Chan Vathanaka – PKNS FC

Bintang sensasi Kemboja ini masih tidak dapat membantu PKNS mencatat kemenangan pertama mereka musim ini selepas dua perlawanan. Seri 1-1 menentang Terengganu minggu lalu, PKNS tewas 0-1 kepada Melaka United di laman sendiri menerusi sepakan penalti Safiq Rahim.

 

Thierry Chantha Bin – Terengganu FC

Beraksi menentang Pahang yang begitu cemerlang dalam perlawanan pertama mereka, pemain kebangsaan Kemboja ini dan rakan sepasukannya sukar menghalang amukan Tok Gajah. Berdepan barisan serangan Pahang yang begitu ganas, Thierry sukar membantu Terengganu daripada dibolosi tiga gol.

 

Achmad Jufriyanto – Kuala Lumpur 

Bekas pemain Persib Bandung ini masih dilanda kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua City Boys menentang juara bertahan, JDT di Larkin. Jika minggu lalu pemain Jepun, Ryutaro Karube yang beraksi di bahagian pertahanan, minggu ini Hisyamudin Sha’ari pula mengisi tempat Jufriyanto bersama Irfan Zakaria dalam kekalahan 4-1 Kuala Lumpur kepada JDT.

 

Kredit video: MSL

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Pahang

 

 

Comments