Bekas petugas physio Hanelang dan Terengganu City FC tuntut tunggakan gaji

Nampaknya ada pendedahan lagi berkenaan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan di Malaysia.

Bekas petugas Physio Hanelang dan Terengganu City FC dari Indonesia, Fortunella Levyana menuntut agar tunggakan gajinya dibayar oleh dua kelab dari Terengganu itu.

“Di Hanelang, saya ada kontrak dari Januari hingga Oktober. Tetapi saya baru terima tiga bulan gaji iaitu untuk Januari, Februari dan Mac. Saya tidak menerima gaji sehingga bulan Mei. Kalau mengikut kontrak, gaji saya sepatutnya sehingga Oktober. Tapi sekarang kontrak itu bagaikan hanya sehelai kertas buat mereka.

“Sementara itu di Terengganu City FC pula saya diarahkan berpindah ke sana kerana Hanelang menarik diri dan mereka berjanji untuk membayar gaji saya. Tetapi malangnya sama juga. Bahkan lebih teruk kerana selaku juara Piala FAM seharusnya mereka tiada masalah untuk membayar gaji.

“Apa yang lebih pelik, Hanelang dan Terengganu City FC tidak memberikan saya salinan kontrak. Ini pertama kali saya berkerja tetapi tidak diberikan salinan kontrak oleh pihak pengurusan,” kata Fortunella ketika dihubungi.

Fortunella mula berkerja di Malaysia pada musim lalu dengan menyertai Terengganu City FC. Namun dia cuma bertahan satu bulan sebelum menyertai Hanelang FC pada tahun ini dan kemudian kembali bersama Terengganu City FC.

Hanelang FC telah menarik diri daripada saingan Liga FAM ketika kejohanan berbaki dua perlawanan lagi.

Tunggakan tertinggi membabitkan tuntutan gaji dan pampasan baki kontrak 20 pemain Hanelang FC adalah bernilai RM1.1 juta.

Terengganu City FC (TCFC) turut terpalit masalah sama yang menyaksikan seramai 11 pemain menuntut hak mereka membabitkan tunggakan RM321,700.

Comments