Sabar pun ada batas, pemain Kuantan FA buat laporan polis

Muhammad Aiman Aminul Muhammad Aiman Aminul

Setelah dua tahun bersabar, barisan pemain dan pegawai Kuantan FA akhirnya membuat laporan polis berhubung kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji mereka.

Salah seorang bekas pegawai pasukan, Rizal Budiman, berkata mereka sudah banyak bertolak ansur sebelum ini demi menjaga nama baik persatuan dan harapan agar semuanya diselesaikan cara baik, namun pengurusan Kuantan FA seolah-olah mengambil kesempatan dan ‘memijak kepala’ dengan sikap berlembut mereka.

“Kalau boleh kami nak selesaikan dengan cara baik. Kami ada buat ‘group’ di whatsapp, Presiden Kuantan FA (Datuk Zaliza Zulkifli) dan pengurus (Datuk Wan Solihin Wan Hassan) pun ada dalam ‘group’ itu. Tapi, apabila kami bertanya tentang tunggakan gaji, seorang pun tak ada yang jawab.

“Sekurang-kurangnya berilah kami jawapan, kalau terus diam macam ini, susahlah. Tunggakan ni bukan baru sebulan dua, tapi sudah lebih 12 bulan, bagaimana kami nak teruskan kehidupan seharian.

“Sampai ada pemain yang terpaksa bekerja kampung, kerja di pusat cuci kereta dan macam-macam lagi. Itu belum bab kereta kena tarik sebab tidak mampu bayar ansuran bulanan,” katanya dipetik daripada Berita Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Jaya, Maran.

Sementara itu, bekas penjaga gol Kuantan FA, Mohd Rosfaizul Azuar Ali mengharapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) campur tangan dalam menyelesaikan kemelut yang berlarutan lama ini dan mendapatkan mereka pembelaan.

Difahamkan, 26 pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA musim 2017 sepatutnya menerima gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM12,000 dan tunggakan keseluruhan ditanggung pihak pengurusan pasukan itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM3 juta manakala jumlah bagi 2018 tidak dapat dipastikan.

Kronologi kes membabitkan Kuantan FA :

a) Masalah tunggakan gaji bermula sekitar November 2016 dan berterusan sepanjang musim 2017 sehingga tersebar laporan bahawa pemain mereka tidak menerima 11 bulan gaji.

b) Masalah tersebut sudah dimaklumkan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan turut mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada September 2017.

c) FAM juga pernah mengarahkan Kuantan FA membayar tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain pasukan itu, Disember lalu iaitu Amirullah Abdul Razab, Shafiq Mat Isa, Nur Zhafri Zaini, Nabilah Khan Razali, Fiqrie Abdullah dan Hasmie Aziz, tetapi tidak dibayar.

d) Syarikat milik Datuk Dr Feardaus Khairuddin, Marcerra mengambil alih pengurusan pasukan itu, awal tahun ini dengan menggunakan nama Marcerra-Kuantan FA. Di peringkat ini ramai pemain dan bekas pemain bersuara dan mempersoalkan kenapa pasukan itu dibenarkan bertanding sedangkan masih menanggung hutang, tetapi Malaysia Football League menjelaskan ianya bagi memberi mereka peluang kedua.

e) Masalah tunggakan gaji dihadapi pemain itu berterusan selepas diambil alih Marcerra, dan MFL juga sudah mengeluarkan arahan kepada Kuantan FA untuk menyelesaikan isu berkenaan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tegas.

f) Pasukan itu sah disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia, April lalu setelah tidak menunjukkan sedikitpun tanda-tanda mahu menyelesaikan masalah.

Foto : NSTP

Comments