FIFA Ranking: Vietnam, Malaysia & Myanmar terus catat lonjakan positif

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pasukan kebangsaan Vietnam, Myanmar dan Malaysia terus mencatatkan lonjakan positif dalam FIFA Ranking yang dikemaskinikan pada hari ini.

Kejayaan skuad kebangsaan Malaysia kendalian Tan Cheng Hoe mencatatkan 3 kemenangan bersih ketika menentang Tajikistan, Thailand dan Indonesia sepanjang bulan november ini membolehkan Malaysia melonjak empat anak tangga dan menempatkan diri di kedudukan ke-154 dunia.

Manakala, skuad Naga Emas yang dibimbing oleh Park Hang-seo turut mencatatkan lonjakan iaitu tiga anak tangga setelah berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mengikat Thailand tanpa jaringan dalam dua perlawanan lalu. Pada ketika ini, Vietnam merupakan pasukan ASEAN di kedudukan paling tinggi dalam FIFA Ranking iaitu tempat ke-94 dunia.

Paling mencuri tumpuan adalah pasukan kebangsaan Myanmar yang dipimpin kembali oleh jurulatih Jerman, Antoine Hey. Ketua jurulatih ini dipecat selepas kegagalan Myanmar mara ke peringkat kalah mati kejohanan Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Namun jurulatih berusia 49 tahun yang dilantik kembali oleh Myanmar selaku ketua jurulatih pada penghujung oktober lalu menggantikan Miodrag Radulovic berjaya memimpin Myanmar mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut menentang Nepal, Tajikistan dan Mongolia.

Tiga kemenangan tersebut membolehkan Myanmar merekodkan lonjakan terbesar iaitu 11 anak tangga dalam kalangan negara rantau asia tenggara sekaligus menempatkan diri di tangga ke-136 dunia.

Selain itu, Filipina dan Singapura turut melonjak dua anak tangga dengan meletakkan diri di tangga ke-124 dan ke-157 dunia pada bulan ini.

Sementara itu, lain kisahnya buat dua pasukan jiran tetangga iaitu Thailand dan Indonesia. Skuad Gajah Perang turun empat anak tangga menduduki tangga ke-113 setelah tewas mengejut kepada Malaysia dan hanya mencatatkan seri tanpa jaringan bertemu Vietnam.

Manakala, kedudukan Sang Garuda semakin menjunam setelah tewas 2-0 kepada skuad kebangsaan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini. Pada saat ini, Indonesia berada di kedudukan ke-173 dunia.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments