Perak mahu guna kelebihan di laman sendiri

Khairul Nizam Khairul Nizam

Biarpun hanya sekadar salah satu daripada aksi pra musim, nampaknya Perak tetap mahu membalas dendam kekalahan mereka kepada Kedah musim lalu.

Perlawanan edisi kedua Unity Shield di antara Perak dan Kedah akan berlangsung di Stadium Perak pada hari ini nampaknya bakal menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan membuat persiapan terakhir sebelum Liga Super 2020 bermula pada hujung bulan ini.

Bagi ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dia mempunyai azam tinggi untuk merampas Unity Shield daripada juara Piala FA 2019 itu.

“Ini peluang untuk kita menang selepas tahun lalu tewas di Kedah, kerana kali ini kita bermain di tempat sendiri.

“Kita sedar ia bukan sesuatu yang mudah kerana Kedah pasukan yang bagus, kita berharap penyokong akan datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan kerana kita bersahabat,” kata pengendali yang berasal daripada Australia itu seperti dilaporkan Berita Harian.

Pada musim lalu, Kedah berjaya menewaskan Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan keputusan 2-0. Dalam perlawanan tersebut, Fernando Rodriguez dan Syahrul Azwari Ibrahim menjadi wira buat Kedah di depan lebih 25,000 penyokong yang hadir.

Perak biarpun kehilangan beberapa tonggak utama pada musim ini seperti pemain tengah Brendan Gan, tetapi diperkuat dengan kehadiran bekas penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula yang kembali bersatu dengan Mehmet selepas bersama di Selangor.

 

Kredit foto: Kedah FA

 

 

Comments