Bimbang disingkir, Melaka United bakal selesaikan semua tunggakan gaji dalam tempoh terdekat

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Begitu lama menagih tunggakan gaji yang merupakan hak sendiri, tetapi tidak dapat.

Tetapi dengan Malaysia Football League (MFL) mengambil pendekatan tidak ‘bagi muka’ dan bertegas akan mengambil tindakan ke atas pasukan yang enggan selesaikan tunggakan gaji sebelum musim bermula, antaranya pemotongan mata dan penyingkiran ke M3, akhirnya pemain-pemain Melaka United boleh menarik nafas lega, kerana hutang mereka akan dibayar oleh Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Sumber terdekat pasukan itu berkata kepada Foxsports, “Kita telah meletakkan banyak usaha untuk mempersiapkan sebuah pasukan yang kompeten pada musim 2020, jadi kita tidak boleh benarkan isu-isu seperti tunggakan gaji tiba-tiba menganggu perancangan dan memberi kesan buruk kepada pasukan.

“Lebih dari RM2 juta akan digunakan untuk membayar tunggakan gaji kira-kira 24 pemain (14 bekas pemain 2019 dan 10 pemain kekal) serta jurulatih, belum ada tarikh tepat daripada pihak pengurusan tetapi segalanya positif dan mungkin ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat, paling selamat kita kata sebelum berakhir bulan Januari. Pengurusan tidak pernah lepas tangan dan sentiasa mencari jalan, kita gembira isu ini akhirnya menghampiri penghujung.”

Isu tunggakan gaji membabitkan MUSA bukan sesuatu yang baru, ia hangat diperkatakan sejak dari tahun 2018 namun memuncak dan menjadi tumpuan umum sejak beberapa minggu kebelakangan, terutama selepas kapten pasukan musim lalu, Shukor Adan membuat keputusan melaporkan kesnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia sehingga menimbulkan kemarahan Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li.

Foxsports difahamkan jumlah tunggakan bagi bekas pemain adalah sebanyak dua bulan gaji manakala pemain-pemain yang kekal pula sebulan gaji.

Sebagai rekod, MFL dan FAM sebelum ini telah menyatakan bahawa setiap pasukan yang mempunyai tunggakan gaji perlu setidak-tidaknya menunjukkan bahawa langkah penyelesaian telah diambil dan dipersetujui oleh pemain-pemain yang terlibat seandainya pembayaran dibuat secara berperingkat, dan kegagalan berbuat demikian berpotensi menyaksikan lesen kebangsaan yang telah diluluskan ditarik balik, selain diambil tindakan lain.

Selain Melaka United, beberapa pasukan lain berdepan situasi sama adalah Kelantan dan PDRM, manakala Felda United pula difahamkan telah menyelesaikan pembayaran.

Foto : Melaka United

Comments