Taylor Regan buat penyokong Selangor tertanya-tanya

Khairul Nizam Khairul Nizam

Siapa lagi yang bakal sertai Selangor?

Selepas berjaya membuat penyokong mereka gembira dengan membawa Brendan Gan ke Shah Alam, Selangor sekali lagi menjentik perasaan peminat mereka dalam rangka persiapan untuk Liga Super 2020.

Penyokong pasukan Selangor mula tertanya-tanya siapa yang bakal menyertai mereka apabila pemain pertahanan dari Australia, Taylor Regan membuat satu kicauan di laman Twitter peribadinya bagaikan memberi bayangan bahawa seorang lagi pemain baru akan menyertai mereka.

“Satu nama baru telah ditambah ke ‘group Whatsapp’ pasukan Selangor. Pemain baru yang berkualiti!”

Kredit: Twitter Taylor Regan

Kicauan tersebut turut menarik perhatian pemain baru mereka, Brendan Gan yang bertanya siapakah pemain yang dimaksudkan itu.

Biarpun tidak mendedahkan siapa pemain yang akan menjadi ahli baru Red Giants, tetapi kicauan itu telah membuatkan ramai penyokong cuba meneka pemain mana yang akan menyertai mereka. Mungkin kerana perbualan Taylor dan Brendan itu memberi bayangan kaitan dengan Australia, antara nama yang timbul adalah pemain tengah Singapura, Safuwan Baharuddin yang pernah beraksi di Liga Australia bersama Melbourne City FC.

Sama ada betul atau tidak tekaan mereka, hanya Taylor, Brendan dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang tahu. Tetapi apa yang dilakukan oleh mereka ini berjaya membuat penyokong mereka teruja dengan musim 2020 nanti. Pastinya pemain yang akan diumumkan kelak adalah seorang pemain yang akan dapat membantu Selangor pada musim hadapan untuk cuba mencabar kejuaraan Liga Super.

 

Kredit foto: Malaysia Football League (MFL)

Comments