VAR diperlukan dalam kancah bola sepak tempatan – Ifwat Akmal

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Teknologi bantuan video (VAR) diperlukan dalam saingan bola sepak tempatan untuk mengelakkan daripada terciptanya jaringan atau keputusan kontroversi sekaligus mengganggu tumpuan para pemain.

Penggunaan VAR itu dicadangkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal selepas ragu-ragu berkenaan gol kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sabtu lalu.

Gol kedua itu terhasil daripada sepakan percuma oleh Safawi Rasid yang terkena bahagian bawah palang terlebih dahulu sebelum melantun masuk ke dalam gol.

Tercetus perdebatan samada bola hasil sepakan percuma tersebut masuk sepenuhnya melepas garisan gol atau tidak.

Penjaga garisan pada malam itu mengesahkan bola tersebut telah melepasi garisan gol dan pengadil, Nazmi Nasaruddin membenarkan gol tersebut sekaligus meletakkan JDT mendahului 2-0 pada minit ke-35.

“Melihat kepada gol kedua itu sebenarnya saya pun tidak nampak keadaannya sebelum pengadil membenarkan jaringan itu yang disahkan oleh pembantu pengadil di sebelah kiri gol.

“Harap lepas ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh menggunakan VAR bagi mengelak berlakunya gol kontroversi,” kata Ifwat Akmal seperti dipetik daripada Harian Metro.

Perkara yang sama juga berlaku ketika saingan separuh akhir kedua antara Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Jaringan sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-85 turut menimbulkan pertikaian bahawa bola tersebut tidak melepasi garisan gol sepenuhnya. Namun, pengadil bertugas membenarkan gol tersebut.

Bagaimapun, teknologi yang lebih tepat untuk menentukan bola melepasi garisan gol bukanlah VAR sebaliknya adalah teknologi garisan gol atau lebih dikenali sebagai Goal Line Technology.

Foto: Malaysian Football League

Comments