Fokus dan konsisten kunci kejayaan JDT – Benjamin Mora

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kejayaan Johor Darul Ta’azim (JDT) menjulang Piala Malaysia 2019 adalah hasil kerja keras dan aksi pemain yang konsisten.

Itulah yang dinyatakan oleh ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas anak buanya berjaya menewaskan Kedah 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi. Mora turut menyatakan, biarpun menang dengan keputusan yang besar, perlawanan itu tidaklah semudah seperti yang disangka.

“Saya tidak rasa perlawanan ini mudah. Ia nampak mudah kerana kami menang 3-0, tetapi kita nampak Kedah benar-benar bergelut untuk cuba mengancam kami. Kedah juga kehilangan beberapa pemain, seperti pemain pertahanan Brazil mereka, Rizal serta penyerang utama mereka, Fernando. Azamuddin Akil juga nampak tidak berada dalam keadaan baik. Saya rasa mereka tidak mempunyai skuad lengkap dan itu sedikit sebanyak membantu kami menguasai perlawanan.

“Saya juga fikir bahawa JDT tidak membenarkan Kedah untuk melakukan banyak perkara kerana kami bermain dengan baik. Ia menjadi sedikit mudah kerana kami melakukan apa yang kami perlu lakukan. Saya tidak akan katakan ia senang tetapi jika kami melakukan perkara mudah, ia akan menjadi mudah kerana kami fokus,di akhirnya dalam perlawanan ini kami konsisten. Pemain saya tahu apa yang perlu dilakukan dan membuat keputusan dengan bijak, sangat fokus dan mereka mahu menang,” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan pada malam tadi, JDT menjaringkan gol menerusi Leandro Velasquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. Pemain negara, Safawi Rasid telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan menurut pemain itu, anugerah itu adalah untuk semua rakan sepasukannya.

“Pemilihan selaku pemain terbaik perlawanan ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk pasukan. Saya perlu ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya sehingga wisel penamat dan saya amat hargai bantuan mereka untuk perlawanan pada malam ini.”

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments