Aidil tak salahkan pemain, Baddrol azam kembali ke Bukit Jalil

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menyatakan bahawa dia tidak menyalahkan pemainnya selepas kekalahan kepada Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kedah yang kehilangan beberapa tonggak utama sukar mengekang asakan Harimau Selatan dan melepaskan tiga gol untuk membenarkan JDT menambah pingat kedua mereka untuk musim ini.

Saya tak rasa perlawanan ini ‘one sided’ , kerana anak buah saya berikan segalanya. Saya rasa cuma tiga gol yang mereka jaringkan, gol pertama satu permainan kombinasi yang cantik, gol kedua dari sepakan percuma yang saya tidak mahu komen dan gol ketiga kami tidak bertenang. Juga kerana Azmeer terpaksa dikeluarkan.

“Bukan mudah dalam masa seminggu untuk melakukan persiapan dengan tiga pemain baru di bahagian pertahanan. Hanya Shakir sahaja pemain yang biasa diturunkan. Itu perkara biasa dalam bolasepak dan saya tidak salahkan pemain kerana itu tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk mendapatkan keputusan,” kata Aidil dalam sidang media selepas perlawanan.

Bagi ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, dia mengakui bahawa Kedah benar-benar terkesan dengan kehilangan beberapa tonggak utama dalam pasukan.

“Memang kami merasai ketiadaan Renan, Fernando di saat akhir dan Rizal Ghazali. Apa sekali pun, bolasepak adalah bolasepak. Siapa yang diturunkan pada malam ini, kami tetap positif terhadap pemain yang diturunkan. Malam ini hukan rezeki kami, jadi kami akan cuba lagi pada musim hadapan. InsyaAllah, kami akan kembali ke Bukit Jalil.”

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments