JDT ‘belasah’ Kedah di pentas akhir Piala Malaysia 2019

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah mengatasi Kedah dengan keputusan 3-0 dalam saingan akhir Piala Malaysia 2019 sambil disaksikan oleh 85,420 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad mencetak nama selaku penjaring dalam perlawanan ini. Ketiga-tiga gol tersebut hadir masing-masing pada minit ke-27, ke-35 dan ke-58.

Sepanjang perlawanan ini, JDT tampil lebih unggul berbanding Kedah di segenap posisi. Bahagian tengah skuad Harimau Selatan terutamanya langsung tidak dapat disaingi oleh duo midfield Kedah, Baddrol Bakhtiar dan David Rowley.

Manakala bahagian serangan Kedah pula langsung tidak dapat menguji barisan pertahanan apatah lagi penjaga gol, Farizal Marlias. Beberapa percubaan Kedah hanya hadir menerusi situasi bola mati yang lemah sahaja.

Kedudukan 3-0 tidak berubah sehingga pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin meniup wisel menandakan tamat perlawanan sekaligus membolehkan JDT menjulang Piala Malaysia buat kali ke-2 dalam sejarah mereka.

Sementara itu, penyerang muda JDT, Safawi Rasid turut merangkul anugerah kasut emas setelah menjaringkan 11 gol sepanjang kejohanan ini.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments