Tipis peluang untuk Ahmad Syamim beraksi

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Terengganu FC berkemungkinan besar belum dapat menurunkan pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT), Sabtu ini berikutan belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain memberitahu Ahmad Syamim masih belum cergas sepenuhnya justeru enggan mengambil risiko menurunkannya dalam perlawanan penting di Larkin itu akan menentukan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selain khuatir kecederaan itu akan bertambah teruk.

Namun, Nafuzi tidak menolak bekas pemain Felda United itu diletakkan sebagai pemain simpanan jika menunjukkan perkembangan positif.

“Saya kena lihat terlebih dahulu keadaan Syamim dalam latihan sehari dua ini untuk memastikan dia benar-benar pulih daripada kecederaan. Lagipun, dia baru sahaja sertai sesi latihan dalam dua, tiga hari ini dan tahap kecergasan fizikalnya masih belum menyakinkan untuk saya turunkan dalam perlawanan penting menentang JDT.

“Mungkin kalau 20 minit terakhir itu saya boleh pertimbangkan untuk dia beraksi jika dia menunjukkan tahap kecergasan yang positif dalam sesi latihan dan selepas itu, baru saya fikirkan kembali macam mana,” jelasnya.

Ahmad Syamim kali terakhir beraksi ketika aksi pembukaan Piala Malaysia menentang PKNS FC pada awal bulan lalu.

Terengganu FC akan bertandang ke Larkin dengan membawa misi wajib menang sekurang-kurangnya 2-1 jika tidak mahu tersingkir awal susulan kekalahan 0-1 di Kuala Terengganu minggu lalu.

Foto : Terengganu FC

Comments