Sathianathan mohon penyokong Red Giants banjiri Stadium Shah Alam

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ayuh penyokong Red Giants, banjiri Shah Alam!

Itulah permintaan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan kepada semua penyokong Selangor menjelang aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada hari Ahad nanti di Stadium Shah Alam.

Selangor tewas 0-1 dalam dalam aksi pertama berdepan Perak di Ipoh menerusi jaringan pada minit ke-13 oleh Brendan Gan. Tetapi Sathia yakin anak buahnya mampu bangkit kembali di Shah Alam dan menyeru agar penyokong dapat hadir bagi memberikan sokongan kepada pasukannya.

“Kami masih bernyawa lagi. 1-0 itu bukan penamat. Saya tau Perak adalah pasukan yang kuat dan kami akan tunggu di Shah Alam. Saya harap penyokong Selangor akan turun semua dan beri motivasi tinggi kepada pemain. Saya juga ucapkan syabas kepada semua pemain saya kerana bukan senang bermain di Ipoh, terutamanya dengan kecederaan beberapa pemain. Halim (Saari) dan Syazwan pun bermain dengan kecederaan. Tiada Sandro, tetapi semua pemain sudah menunjukkan aksi bersemangat, walaupun mereka lebih menguasai bola, tetapi kita pun ada beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan. (Khairul) Azhan juga bermain dengan baik.

“Kelemahan itu ada, dan boleh diperbaiki. Cuma saya minta kita jaringkan gol bila bertemu Perak di Shah Alam. Saya rasa separuh masa kedua kami bermain lebih baik berbanding separuh masa pertama dan cipta peluang. Saya harap perkara ini akan diteruskan di Shah Alam dengan adanya penyokong. Saya minta semua penyokong Red Giants untuk turun dan berikan semangat kepada pasukan,” kata Sathia dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam tiga aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia tahun ini, Selangor mencatat tiga keputusan seri di laman sendiri. Mereka seri 2-2 menentang Felda United, serta seri 1-1 menentang PDRM dan Melaka United.

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)

 

Comments