Minta maaf penyokong Terengganu FC – Nafuzi Zain

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan kepada 10,200 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana terpaksa pulang hampa setelah pasukan kesayangan mereka tewas 2-3 di tangan Kedah pada aksi ke-5 Piala Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC berjaya bangkit mengejar sebanyak dua kali untuk menyamakan kedudukan namun jaringan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-86 meranapkan impian pasukan tersebut untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

“Minta maaf kepada penyokong kerana keputusan tidak menyebelahi kita,” kata ketua jurulatih, Nafuzi Zain dalam sidang media selepas perlawanan.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Kedah mendahului seawal minit ke-4 menerusi tandukan oleh Jonatan Bauman sebelum disamakan kedudukan oleh Lee Tuck menerusi sepakan penalti pada minit ke-33.

Pemain tengah Kedah, Edgar Bernhardt sekali lagi meletakkan skuad Helang Merah di hadapan pada minit ke-37. Namun, Malik Mat Arif yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua berhasil menewaskan Ifwat Akmal untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-60. 

“Bagi saya, dari segi prestasi kedua-dua pasukan menunjukkan permainan yang bagus. Saya berpuas hati, 90 minit bermain dengan tempo yang amat laju, mungkin keputusan seri adalah lebih adil tetapi rezeki lebih memihak kepada Kedah.” tambah Nafuzi lagi.

Mengulas mengenai peluang Terengganu FC mara ke suku akhir dan peluang untuk menamatkan saingan Kumpulan A selaku juara, beliau berkata, “Saya rasa buat masa ini, Negeri Sembilan mempunyai peluang tetapi dia perlu menjaringkan tujuh gol menentang Kedah pada perlawanan seterusnya. Mungkin itu sedikit kelebihan yang ada pada kita.

“Tetapi saya tidak mahu bergantung dengan (keputusan) pasukan lain, untuk pertemuan menentang PKNS FC, kita perlu menang. 

“Sekarang ini Kedah mengungguli Kumpulan A, untuk perlawanan terakhir, Kedah perlu menang dan kita juga perlu menang, jikalau kita menang dan Kedah mencatatkan keputusan seri, kita masih berpeluang untuk muncul juara Kumpulan A.

“Semuanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir.”

Foto: Terengganu Football Club

Comments