Rajagopal terkejut dengan persembahan buruk anak buahnya

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagopal ternyata kecewa dengan persembahan anak buahnya dalam kekalahan 1-3 mereka kepada Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan membuka jaringan terlebih dahulu menerusi Ferris Danial pada minit ke-42, tetapi Kpah Sherman berjaya membantu PKNS menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti di masa kecederaan. Tetapi Ferris sekali lagi menjadi duri buat PKNS menerusi jaringan keduanya pada minit ke-56. Saki baki perjuangan pasukan Semut Merah ditamatkan oleh pemain import skuad Jang, Igor Luiz pada minit ke-92.

“Sudah tentu saya kecewa. Ini Salah satu persembahan terburuk kami. Saya rasa kami tidak layak menang malam ini. Kami mempunyai banyak peluang terutamanya di 20 minit pertama. Kami mempunyai lebib banyak peluang berbanding Negeri Sembilan, tetapi selepas itu kami mula hilang arah. Tiada desakan, tiada tenaga daripada pemain, tiada jiwa yang besar.

“Mereka (pemain) tahu kami mempunyai peluang lebih baik daripada Negeri Sembilan yang berada di tangga terbawah kerana mereka mempunyai tiga mata, kami empat mata. Separuh masa kedua kami kembali ke perlawanan dan memulakan perlawanan dengan baik dalam lima minit pertama, tetapi sekali lagi kami membazirkan peluang dan hilang arah. Kami bergelut dan saya rasa sangat terkejut kerana ini perlawanan pertama kami beraksi dengan teruk,” kata Rajagopal dalam sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyebabkan PKNS FC kini sah tidak akan dapat layak ke suku akhir Piala Malaysia kerana hanya mengumpul empat mata dengan perlawanan peringkat kumpulan hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi. Terengganu FC yang berada di tempat kedua kumpulan mempunyai sembilan mata, oleh itu jika PKNS mampu menang dalam perlawanan terakhir mereka pun tidak mencukupi untuk layak ke suku akhir.

“Kami sudah tidak boleh layak kerana kami hanya ada empat mata. Negeri Sembilan ada enam dan Terengganu ada sembilan mata. Perlawanan terakhir hanya untuk maruah. Bermain baik sebagai profesional, berusaha dapatkan kemenangan. Itu sahaja yang tinggal untuk kami.

“Saya tahu kami bermain baik sebelum ini walaupun tewas kepada Kedah. Dua kali kami mendahului. Jadi malam ini saya rasa sangat terkejut dan kecewa dengan sikap secara keseluruhan pemain.”

PKNS FC akan menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Shah Alam dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada hari Selasa nanti. Skuad Penyu mengelak dari tewas besar dalam perlawanan berdepan anak buah K.Rajagopal jika mahu melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

 

Comments