PKNS sah tersingkir, Negeri Sembilan dan Terengganu FC masih berpeluang mara ke suku akhir

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dari empat pasukan, kini hanya tinggal tiga pasukan yang akan bersaing merebut slot ke suku akhir Piala Malaysia 2019 bagi Kumpulan A.

Hasrat PKNS FC untuk kekal bersaing di Piala Malaysia sudah terkubur selepas tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam. Negeri Sembilan menjaringkan gol terlebih dahulu menerusi Ferris Danial pada minit ke-42 sebelum sepakan penalti Kpah Sherman pada masa tambahan membantu PKNS menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

Ferris Danial sekali lagi menjadi wira skuad Jang dengan gol pada minit ke-56 dan biarpun PKNS cuba mencari gol penyamaan sekali lagi, Igor Luiz meranapkan harapan mereka dengan jaringan ketiga Negeri Sembilan di masa tambahan separuh masa kedua.

Negeri Sembilan perlu menewaskan Kedah dengan jumlah jaringan yang besar dalam perlawanan terakhir mereka atau berharap agar PKNS mampu menewaskan Terengganu FC dengan jumlah jaringan yang besar. Kemenangan 2-3 Kedah di Kuala Terengganu mengesahkan tempat mereka ke suku akhir dan skuad Helang Merah kini menduduki tangga teratas Kumpulan A.

Jonathan Bauman membuka jaringan untuk anak buah Aidil Sharin Sahak seawal minit keempat sebelum Lee Tuck menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-33. Namun begitu kegembiraan Terengganu hanya buat sementara kerana Edgar Bernhardt sekali lagi membantu Kedah mendahului perlawanan pada minit ke-37. Abdul Malik Mat Arif membantu skuad penyu untuk sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-60 tetapi ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar memastikan Kedah membawa pulang tiga mata dengan jaringan pada minit ke-86.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments