Aksi dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia bakal curi tumpuan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Piala Malaysia 2019 kini menuju ke dua perlawanan terakhir sebelum aksi suku akhir.

Setakat ini, hanya satu pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir iaitu Pahang dengan empat kemenangan berturut berjaya dicapai oleh anak buah Dollah Salleh.

Apa yang menarik, hanya dua pasukan sahaja yang sudah sah tidak akan mara ke suku akhir biarpun mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir mereka iaitu UiTM di Kumpulan B dan juara Liga Premier Sabah yang berada di Kumpulan C.

Tidak mengira Pahang, Sabah dan UiTM, kesemua sembilan pasukan masih mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir.  Paling sengit pastinya Kumpulan D yang melihat Melaka United, Selangor, PDRM dan Felda United semua masih mempunyai peluang. Melaka dan Selangor berkongsi dua tempat teratas dengan enam mata, PDRM memungut lima mata dan Felda United dengan empat mata.

Persaingan Kumpulan A juga tidak kurang hebatnya. Negeri Sembilan biarpun berada di tangga tercorot dengan tiga mata masih boleh naik ke tangga kedua jika mereka memenangi dua perlawanan terakhir dan pasukan PKNS dan Kedah gagal mengutip sebarang mata.

Keputusan perlawanan pada minggu ini akan pastinya menyebabkan beberapa pasukan terkeluar daripada saingan Piala Malaysia. Perak perlu menumpaskan Pahang di Ipoh untuk kekal di tempat kedua Kumpulan C di depan Pulau Pinang. Petaling Jaya City perlu cuba mencipta kejutan dengan menumbangkan pendahulu kumpulan dan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’azim (JDT) untuk menjarakkan diri daripada PKNP FC  dan mengesahkan tempat ke suku akhir.

Apa yang penting, kehangatan bolasepak Malaysia tidak terhenti setakat aksi Harimau Malaya sahaja. Kesemua perlawanan Piala Malaysia ini juga tidak kurang hebatnya. Semuanya menunggu untuk menjadi sajian penyokong Liga Bolasepak Malaysia.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments