Lima Perkara: Kealpaan benteng TFC beri peluang Kedah rampas takhta Kumpulan A

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Tiga gol Kedah dijaringkan oleh Jonathan Bauman, Edgar Bernhardt dan Baddrol Bakhtiar. Manakala dua gol oleh TFC disumbangkan oleh Lee Tuck dan Malik Mat Arif.

Berikut adalah 5 perkara daripada perlawanan ini:

1. Terengganu FC & Kedah ubah sedikit percaturan di bahagian serangan

Terengganu FC kendalian Nafuzi Zain membuat dua perubahan dalam kesebelasan utamanya menentang Kedah pada malam ini. Penyerang kiri laju, Nabil Ahmad Latpi bermula di sayap kiri menggantikan Khairul Izuan dan Wan Azraie Wan Teh bermula di posisi penjaga gol. Nama-nama lain kekal sebagaimana ketika menentang Negeri Sembilan di Paroi, hujung bulan lalu. Formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3 kekal menjadi taruhan Terengganu FC. 

Di kem Kedah pula, mereka membuat tiga pertukaran berbanding kesebelasan utama menentang PKNS FC pada perlawanan keempat lalu. Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak memilih Azmeer Yusof untuk mengisi poisisi bek kiri. Manakala di bahagian tengah dan serangan, David Rowley dan Fernando Rodriguez kembali mengisi kesebelasan utama. Kedah seperti kebiasaan tampil dengan formasi 4-5-1.

2. Kedah ambil peluang atas kelonggaran pertahanan Terengganu FC

Separuh masa pertama, Kedah berhasil mencetak dua gol hasil kelonggaran benteng pertahanan TFC. Pertamanya menerusi situasi bola mati, sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar tidak dapat dikeluarkan oleh benteng pertahanan dan Jonathan Bauman pantas menanduk masuk bola untuk gol pertama Kedah seawal minit ke-3.

Keduanya, benteng TFC juga bocor apabila berhadapan situasi permainan terbuka. Situasi ini menunjukkan betapa benteng TFC alpa, dimana bola leret hantaran Farhan Roslan langsung tidak dikeluarkan oleh mana-mana pemain TFC dan sentuhan lemah Edgar Bernhardt sudah memadai untuk memberikan Kedah kembali mendahului 2-1 pada minit ke-36.

3. Kedah tekan Terengganu FC sehingga lemas

Aidil Sharin Sahak bagaikan sudah masak dengan corak permainan penguasaan bola dan hantaran pendek oleh TFC. Untuk mengatasi corak permainan sebegitu, Aidil mengarahkan anak-anak buahnya untuk menekan pemain-pemain TFC secara total! Pujian harus diberikan kepada barisan serangan Kedah seperti Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman, David Rowley, Farhan Roslan dan Baddrol Bakhtiar yang memainkan tugasan tersebut dengan cemerlang sehingga menyukarkan TFC merencanakan permainan.

Selain daripada menekan TFC, Kedah juga bertindak memadatkan bahagian tengah sekaligus mengekang gandingan duo Lee Tuck dan Sharin Sapien daripada melakukan hantaran mencari Tchetche Kipre di bahagian atas.

4. Kemasukan Malik & Ashari beri impak kepada TFC

Menyedari serangan TFC tidak begitu bermaya pada babak pertama, Nafuzi Zain menukar perancangannya pada babak kedua. Minit ke-46 Ashari Samsudin dimasukkan menggantikan Nabil Ahmad Latpi bahagian kiri. Tidak lama kemudian, Malik Mat Arif pula dimasukkan menggantikan Rahmat Makasuf. Kemasukan kedua-dua pemain itu jelas memberikan impak positif kepada dimana TFC rancak mengatur serangan ke arah gawang yang dikawal oleh Ifwat Akmal melalui sayap kiri dan kanan. Malik juga berhasil mendapatkan gol penyamaan kedua pada minit ke-60.

5. Kedah rampas tangga teratas Kumpulan A

Kemenangan di kubu pasukan lawan kali ini menyaksikan skuad Kedah bimbingan Adil Sharin berjaya merampas kedudukan teratas Kumpulan A dengan kutipan 10 mata.

Jaringan yang dilakukan oleh Baddrol Bakhtiar di babak akhir permainan (minit ke 87) menyaksikan anak buah Nafuzi Zain yang beraksi di hadapan lebih sepuluh ribu penyokong sendiri terpaksa berputih mata walaupun dua kali berjaya menyamakan kedudukan sekaligus menyaksikan tiga mata berharga dibawa terbang jauh oleh Sang Lang Merah kembali ke negeri mereka.

 

Comments