Dollah mahu keputusan positif bertemu Perak

Khairul Nizam Khairul Nizam

Biarpun Pahang merupakan satu-satunya pasukan yang sudah melayakkan diri ke suku akhir, ketua jurulatih mereka, Dollah Salleh tetap mahu pasukannya membawa pulang keputusan positif.

Pahang sudah mengutip 12 mata hasil empat kemenangan berturut dan akan berdepan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak di Ipoh bagi aksi Kumpulan C pada hari Sabtu nanti.

Pahang mempunyai lima pemain yang beraksi ketika kalendar perlawanan antarabangsa yang lalu. Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih beraksi untuk Malaysia sementara Saddil Ramdani mewakili Indonesia.

“Skuad Pahang hanya akan bertemu empat pemain ini di Ipoh dan saya akan menilai prestasi mereka sama ada disenaraikan dalam kesebelasan utama atau tidak.

“Keputusan itu bergantung kepada prestasi selepas mereka mengharungi dua perlawanan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Walaupun Pahang sudah mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia, saya tetap mahukan keputusan positif apabila bertemu Perak,” kata Dollah seperti dilaporkan Harian Metro.

Dalam pertemuan pertama peringkat kumpulan di Stadium Darul Makmur, Pahang berjaya mengatasi Perak 3-0 menerusi jaringan trio import mereka,  Herold Goulon, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi.

 

Kredit foto: Pahang FA

 

Comments