Baddrol: Kedah tidak boleh tercicir mata jika mahu ke saingan kalah mati

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar tidak rela melihat pasukannya tercicir mata dalam baki dua perlawanan akhir peringkat Kumpulan A, seterusnya menyukarkan mereka ke peringkat kalah mati saingan Piala Malaysia 2019.

Skuad Helang Merah akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang pasukan Terengganu Football Club (TFC) bagi aksi ke-5 melibatkan Kumpulan A, malam ini. 

Baddrol menjangkakan ianya akan menjadi perlawanan yang sukar buat Kedah lebih-lebih lagi ia berlangsung di gelanggang lawan.

Rekod pertemuan terdahulu juga tidak memihak Kedah apabila mereka tewas kepada TFC yang hanya bermain seramai 10 orang pemain selepas penjaga gol TFC, Ilham Amirullah dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama. 

Tchetche Kipre muncul wira pasukan berpengkalan di pantai timur itu dengan menjaringkan kedua-dua gol buat TFC pada separuh masa kedua sekaligus menamatkan permainan dengan keputusan 2-0.

Walaupun tampak sukar, Baddrol tetap menuntut rakan sepasukan untuk berjuang habis-habisan dalam perlawanan malam ini untuk mencerahkan peluang mereka ke pusingan kalah mati.

“Kita tidak boleh tercicir mata lagi dalam tiga perlawanan terakhir ini kerana ia bakal menyukarkan peluang untuk ke peringkat kalah mati.

“Bermain di laman lawan memang sukar tetapi tidak kira apa cara sekali pun kita harus mencuri mata di sana,” kata Baddrol dipetik daripada Utusan Online.

Ketika ini, skuad Kedah yang dibimbing oleh Aidil Sharin Sahak menduduki tangga ke-2 Kumpulan A dengan kutipan 7 mata. Dipuncak Kumpulan A adalah pasukan TFC yang berada dua mata di atas Kedah.

Foto: Kedah FA

Comments