Dollah tagih khidmat Sumareh, Azam, Davies dan Matyo menentang Perak

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menagih khidmat empat pemain tunjang Harimau Malaya iaitu Mohamadou Sumareh, Nor Azam, Matthew Davies dan Norshahrul Idlan Talaha menjelang aksi menentang Perak saingan Piala Malaysia 2019.

Sungguhpun Pahang telah disahkan layak ke saingan suku akhir, keempat-empat pemain tersebut amat diperlukan oleh Dollah Salleh yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan suatu masa dahulu untuk memastikan momentum kemenangan buat pasukan Tok Gajah.

Bagaimanapun, Dollah akan menilai terlebih dahulu tahap kecergasan keempat-empat pemain tersebut sebelum membuat keputusan samada untuk menurunkan mereka atau tidak pada aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, sabtu ini.

“Skuad Pahang hanya akan bertemu empat pemain ini di Ipoh dan saya akan menilai prestasi mereka sama ada disenaraikan dalam kesebelasan utama atau tidak.

“Keputusan itu bergantung kepada prestasi selepas mereka mengharungi dua perlawanan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Walaupun Pahang sudah mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia saya tetap mahukan keputusan positif apabila bertemu Perak,” katanya menerusi myMetro.

Selain daripada empat pemain tersebut, pemain muda Indonesia, Saddil Ramdani turut dilaporkan telah kembali ke Kuantan, semalam. Dollah mengatakan Saddil akan turut serta bersama skuad Pahang ke Ipoh bagi aksi ke-5 peringkat Kumpulan C.

Ketika ini, Pahang gah memimpin Kumpulan C dengan kutipan 12 mata hasil daripada 4 kemenangan. Perak dan Pulau Pinang masing-masing menghuni tangga ke-2 dan ke-3 Kumpulan berkongsi lima mata. Manakala Sabah di dasar Kumpulan C belum berhasil mendapatkan sebarang mata.

Foto: FAM

Comments