Tidak mahu kekecewaan di Paroi berulang, Tchetche nasihat rakan jangan terlalu yakin

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Penyerang Terengganu Football Club (TFC) tidak mahu episod kekecewaan kalah 3-2 di Paroi dua minggu lalu berulang ketika mereka akan melayan kunjungan Kedah bagi aksi ke-5 saingan Piala Malaysia, esok.

Terdahulu, ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad TFC yang dibimbing oleh Nafuzi Zain turun dengan keyakinan yang amat tinggi selepas menewaskan skuad Hoben Jang Hoben 3-1 di Kuala Terengganu.

Keyakinan tinggi itu nyata memakan diri apabila Tchetche Kipre dan rakan-rakannya dikejutkan oleh Negeri Sembilan seawal minit ke-3 dan ke-6 menerusi jaringan oleh Ferris Danial dan Almir. TFC cuba bangkit, dengan Lee Tuck menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-36.

Tetapi pada babak kedua, kebangkitan TFC dikekang oleh persembahan berdisiplin tinggi oleh pemain-pemain Negeri Sembilan. Mereka sempat menambah satu lagi jaringan menerusi Igor Luiz pada minit ke-66. Skuad TFC hanya berjaya menambahkan gol kedua melalui Sanjar Shaakhmedov pada masa tambahan dan keputusan akhir memihak kepada Negeri Sembilan, 3-2.

Mengulas mengenai pertembungan menentang Kedah esok, Tchetche sama sekali tidak mahu episod kekecewaan di Paroi berulang kembali walaupun mereka mempunyai kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri. 

“Berdasarkan peluang, kami mempunyai kelebihan menang berbanding lawan kerana bermain sebagai tuan rumah, kami tahu apa yang perlu dilakukan dalam misi melangkah lebih awal ke suku akhir.

“Namun saya nasihatkan diri dan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin dan selesa beraksi di tempat sendiri, sebaliknya bermain seperti biasa mengikut strategi yang diatur jurulatih bagi mengelak kekalahan,” kata Tchetche seperti dipetik daripada Berita Harian.

Musim lalu, Tchetche Kipre telah dinobatkan selaku penjaring terbanyak saingan Piala Malaysia 2018. Beliau optimis untuk mengulanginya pada musim ini dan pada saat ini, penyerang kelahiran Ivory Coast ini telah meledak lima gol dalam 4 perlawanan.

Dua daripadanya adalah ketika menewaskan Kedah di Stadium Darul Aman, pada aksi kedua Kumpulan A, Ogos lalu. 

“Saya sedia mengulangi pencapaian itu, begitu juga dua jaringan di Alor Setar, saya harap dapat membantu pasukan mencatat kemenangan di depan peminat setia TFC,” katanya lagi.

Foto: Terengganu Football Club

Comments