Negeri Sembilan perlu tumpaskan PKNS

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tumpaskan PKNS atau tersingkir.

Itulah yang perlu dilakukan oleh Negeri Sembilan jika mahu terus menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Dengan tiga mata daripada empat perlawanan, Negeri Sembilan perlu menang baki dua perlawanan mereka jika mahu mara. Terengganu FC berada di tangga teratas dengan sembilan mata, diikuti Kedah FA dengan tujuh mata dan PKNS FC dengan empat mata.

Pemain skuad Jang, Izuan Salahuddin berharap rehat dua minggu bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan mampu membantu mereka berdepan PKNS nanti.

“Tempoh rehat selama lebih dua minggu juga digunakan dengan baik terutama dalam menilai kembali persembahan kami pada aksi sebelum ini dan yakin dengan kemampuan untuk meneruskan rentak kemenangan itu,” kata Izuan.

“Fokus kami ketika ini adalah untuk menewaskan PKNS bagi membuka peluang ke peringkat suku akhir dan sedar andai usaha itu gagal, impian kami akan berkubur,” kata Izuan seperti dilaporkan Berita Harian.

Skuad kendalian Zaki Sheikh Ahmad berjaya mencipta kejutan dalam perlawanan terakhir mereka ketika berdepan Terengganu FC, di mana mereka menang 3-2 di Paroi. Mereka memerlukan tuah mereka kerana melihat kepada dua perlawanan terakhir skuad Jang, ianya nampak sukar untuk mereka kerana akan beraksi di gelanggang lawan berdepan PKNS dan Kedah.

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan – PBNS

Comments