Melaka United cari keserasian di Riau

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dengan aksi Piala Malaysia terhenti buat seketika bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan, semua pasukan bertanding pastinya tetap menyambung persiapan mereka bagi memastikan kejayaan akan dapat dicapai.

Di saat kebanyakan pasukan hanya berlatih di tempat sendiri, nampaknya Melaka United telah mengambil peluang ini untuk menyertai kejohanan di negara jiran.

MU telah bertandang ke Riau, Indonesia bagi menyertai Kejohanan Trofeo Piala Walikota Pekanbaru yang berlangsung di Stadium Kaharudin Nasution pada 6 September yang lalu.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu tewas dalam perlawanan pertama menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 kepada pasukan Liga Indonesia, Semen Padang. Satu-satunya pemain MU yang tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti adalah  Wan Amirul Afiq.

Melaka United kemudian tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah,PSPS Riau untuk menamatkan kedudukan di tempat ketiga kejohanan itu.

Menurut Zainal, tujuan utama mereka menyertai kejohanan itu adalah untuk memperbaiki pasukan dan mempertingkat persembahan bagi meneruskan usaha untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Biarpun menduduk tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata, Melaka United masih belum selamat kerana Selangor yang juga berkongsi enam mata, PDRM dengan lima mata dan pasukan di tangga terbawah, Felda United yang memungut lima mata, masih berpeluang untuk merebut dua slot ke suku akhir.

Melaka akan berkunjung ke Shah Alam untuk berdepan Red Giants dalam perlawanan mereka yang seterusnya pada 14 September ini.

 

Kredit foto: Melaka United

 

Comments