Piala Malaysia: Kuisan tumit Dickson pastikan Pahang menang 1-0 ke atas Sabah di Kuantan

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Saingan Matchday 4 Piala Malaysia 2019 pada malam ini menemukan pasukan Pahang dan Sabah daripada Kumpulan C.

Aksi yang bertempat di Stadium Darul Makmur ini berkesudahan dengan keputusan 1-0 memihak kepada tuan rumah hasil jaringan kuisan tumit oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke-57.

Berikut kami tampilkan lima perkara menarik daripada perlawanan di antara Pahang dan Sabah ini:

#1 Pahang mempunyai sedikit masalah defensif

Pasukan Pahang tidak dapat menurunkan pemain tengah Safuwan Baharudin kerana menjalani hukuman penggantungan setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan terdahulu. Kita tahu, Safuwan merupakan pemain tengah defensif pasukan Tok Gajah dan bertindak untuk memintas bola atau memusnahkan gerakan-gerakan pihak lawan di kawasan tengah. Ketiadaan beliau memudahkan pasukan Sabah untuk menguasai bahagian tengah dan melancarkan serangan balas ke arah gawang tuan rumah. Namun, Pahang bernasib baik kerana bentengnya masih kemas dipimpin oleh Herold Goulon disamping ketangkasan Helmi Eliza di hadapan gawang.

 

#2 Penyerang Sabah tidak ambil peluang

Pada separuh masa pertama, Sabah mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol pendahuluan. Seawal minit pertama lagi, skuad Tambadau telah menguji barisan pertahanan dan penjaga gol Pahang. Kemudian, beberapa peluang lagi muncul samada menerusi permainan terbuka dan juga situasi bola mati. Tetapi dua penyerang Sabah, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes gagal sama sekali untuk menukarkan peluang-peluang tersebut kepada jaringan. Satu kerugian buat mereka sebenarnya tatkala Pahang boleh dikatakan bergelut terutamanya daripada aspek defensif kerana ketiadaan Safuwan Baharudin. Perkara ini berterusan pada babak kedua menyaksikan mereka terpaksa akur kalah 1-0 kepada Pahang.

 

#3 Kekerasan Rawilson Batuil sukarkan Pahang hampir 60 minit

Tiada sebarang jaringan tercipta pada separuh masa pertama walaupun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan. Dan perkara itu berterusan sehingga minit ke-57 sebelum satu backheel oleh Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti berjaya menerjah gawang Sabah. Sebelum itu, Pahang kelihatan buntu hampir sejam untuk mencipta jaringan. Yang menjadi penghalang kepada situasi itu adalah kecemerlangan pertahanan tengah skuad Tambadau, Rawilson Batuil. Gandingan beliau, Park Tae-su juga turut cemerlang di posisi itu. Acap kali Rawilson berjaya mengekang dua gerakan Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme apabila mereka melakukan serangan. 

 

#4 Norshahrul Idlan Talaha kurang menyerlah

Pengendali Pahang menurunkan Matyo di posisi sayap kiri pada perlawanan ini. Manakala di posisi sayap kanan ialah Saddil Ramdani. Namun, prestasi Matyo kurang memberangsangkan. Banyak bola yang dilorongkan kepadanya disia-siakan, larian yang dilakukan sering dipintas oleh pihak lawan dan tiada gerakan lincah yang sering dilakukannya untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti. Jika dibandingkan dengan posisi sayap kanan, Saddil lebih efektif dan banyak melakukan crossing dan hantaran ke dalam kotak penalti. Matyo turut dikeluarkan oleh Dollah Salleh pada minit ke-73 dan digantikan dengan pemain muda, Zuhair Aizat. 

 

#5 Dickson Nwakaeme MOTM 

Persembahan penyerang Tok Gajah, Dickson Nwakaeme membuatkan kami memilih beliau sebagai Man of The Match pada malam ini. Selain daripada menjaringkan gol tunggal perlawanan, pemain kelahiran Nigeria ini juga rajin turun ke kawasan tengah untuk mendapatkan bola seterusnya melancarkan serangan. Kecergasan Dickson juga berada dalam keadaan baik dengan aktif melakukan larian hampir sepanjang 90 minit permainan. Malah, beliau turut melakukan banyak killer pass yang menewaskan barisan pertahanan Sabah kepada Lazarus Kaimbi dan Faisal Halim. 

Foto: Pahang FA

Comments