Zubir Azmi mahu rakan sepasukan berwaspada dengan ancaman Sabah

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kebiasaannya, apabila pasukan berjaya memungut enam mata daripada dua perlawanan, pastinya ramai akan merasakan pasukan itu mempunyai peluang yang cerah kerana pasukan mendapat keyakinan yang tinggi.

Tetapi dalam situasi bolasepak masa kini, enam mata belum mampu menjamin apa-apa terutamanya ketika beraksi dalam saingan piala. Dengan baki empat lagi perlawanan, jika tumpuan tidak diberikan sepenuhnya, pasukan yang mempunyai enam mata daripada dua perlawanan pertama juga mampu tersingkir.

Mungkin itulah yang bermain di minda pemain pertahanan Pahang, Zubir Azmi bagi memastikan dia dan rakan sepasukannya tidak dibuai kemenangan dua perlawanan pertama mereka.

“Kami perlu mengekalkan prestasi untuk melakar kemenangan ke atas Sabah biarpun tahu bakal berdepan saingan sengit.

“Lebih-lebih lagi Sabah gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan dan mereka sudah pasti mahukan kemenangan.

“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50 tetapi dengan komitmen dan pencapaian semasa, kami akan pastikan kemenangan berpihak kepada kami,” kata Zubir seperti dilaporkan Berita Harian.

Setakat ini Pahang nampak belum betul-betul selesa biarpun berada di tangga teratas Kumpulan C. Perak dan Pulau Pinang dengan tiga mata mampu memberikan saingan kepada Pahang untuk merebut dua tempat teratas bagi melayakkan diri ke suku akhir. Sabah biarpun tiada mata lagi setakat ini, jika mampu menang ke atas Pahang dalam perlawanan mereka pada hari Sabtu ini juga berpeluang untuk bersaing.

 

Kredit foto: Pahang FA

Comments