Saya percayakan pemain dan kami akan bangkit – Aidil Sharin Sahak

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Walaupun Kedah tewas 2-0 kepada Terengganu FC gelanggang sendiri pada aksi kedua Piala Malaysia, kepercayaan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kepada pemain-pemainnya tidak luntur.

Lebih memeritkan, skuad Helang Merah bukan sahaja tewas kepada pasukan yang bermain dengan 10 pemain tetapi lebih daripada 10 peluang yang dicipta disia-sia begitu sahaja sehingga merekodkan kekalahan pertama Kedah di Stadium Darul Aman, musim ini.

“Saya sentiasa percayakan pemain-pemain saya 100% walaupun kita kalah pada malam ini. Itu adalah bola sepak. Yang paling penting pemain-pemain mestilah beri 100% untuk setiap perlawanan untuk peminat yang menyokong kita semua, ahli keluarga. 

“Yang paling penting, bagi saya lupakan apa yang kita lalui malam ini. Kalau kita mahu menuju ke saingan suku akhir kita mesti yakin. Bangkit daripada kekalahan. Yakin antara satu sama lain dan sedia untuk perlawanan menentang PKNS FC.

“Sukar untuk diterima (kekalahan) ini. Kita main di Darul Aman, menentang 10 orang pemain, cipta lebih 10 peluang, semua jurulatih pastinya sukar untuk menerima perkara ini. 

“Tetapi kita perlu akur dan pandang ke hadapan. Jika sentiasa pandang kepada perkara lalu, kita tidak akan capai apa-apa di masa akan datang. Kami akan bangkit dengan lebih kuat selepas ini.” katanya dalam sidang media.

Pengendali kelahiran Singapura ini menyimpulkan nasib tidak menyebelahi buat pasukan Kedah walaupun tampil lebih baik berbanding pasukan lawan. Beliau akan melakukan ‘post mortem’ dengan segera dan perbaiki kesilapan pada perlawanan akan datang.

“Saya rasa kami dapat banyak peluang pada separuh masa kedua. Itulah bola sepak. Kami kalah untuk kali pertama di Darul Aman. Mungkin nasib tidak menyebelahi kita malam ini (semalam),

“Kita tidak boleh beri alasan pemain keletihan. Kita sepatutnya bermotivasi selepas menang Piala FA dan mencatatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan. Pemain sudah berikan persembahan 100% untuk mencipta peluang. Saya akan mengenal pasti apa faktor (kesilapan) yang terjadi dan kita perlu baiki untuk menuju ke hadapan,” tambahnya.

Foto: Kedah FA

Comments