Kata-kata Nafuzi di bilik persalinan jadi pembakar semangat Terengganu FC

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Apabila penjaga gol Terengganu FC, Ilham Amirullah dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama, pengendali sementara, Nafuzi Zain sedar pasukannya akan berhadapan tugas getir untuk baki 45 minit permainan seterusnya.

Beliau lantas ke bilik persalinan pada rehat separuh masa pertama dan menghabiskan 15 minit tersebut dengan menitipkan kata-kata semangat dan memberikan motivasi kepada para pemain.

Foto: TFC

Nafuzi berkongsi perkara tersebut semasa sidang media, beliau berkata, “saya beritahu kepada pemain semasa rehat, sepuluh pemain ini lebih membuatkan pemain lebih berusaha berbanding bermain dengan sebelas pemain kerana pemain-pemain lebih saling membantu satu sama lain. Kita lebih bekerjasama sebagai satu pasukan. 

Pemain-pemain Terengganu FC nyata positif dengan ungkapan oleh ketua jurulatih mereka. Separuh masa kedua menyaksikan Sang Penyu terus memberikan saingan sehingga berjaya menjaringkan dua gol menerusi penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre pada minit ke-66 dan ke-88.

“Walaupun bermain dengan 10 pemain, komitmen pemain saya tunjukkan sangat membanggakan saya. Mengekalkan disiplin, kekalkan bentuk (permainan), tumpuan serta bermain dengan kualiti yang dimiliki oleh pasukan kita,”

“Kita bermain dengan baik dari segi bertahan biarpun diasak bertubi-tubi oleh Kedah dan menggunakan peluang yang ada untuk menyerang,” katanya lagi.

Nafuzi memberikan pujian penuh kepada anak-anak buahnya atas kejayaan melepasi ujian getir itu. Kelemahan pasukan Kedah samada dari segi teknikal atau taktikal tidak memberikan kelebihan seandainya pemain-pemain Terengganu FC tidak memberikan persembahan 100% di atas padang.

“Setiap pasukan akan mengkaji sebelum menghadapi pihak lawan. Kedah kaji pasukan kita, kita juga kaji pasukan dia. Itu adalah normal dalam bola sepak. Apa yang pemain tunjukkan dalam padang lebih penting. Memang Kedah tahu cara kita bermain tetapi kita yakin dan bermain tanpa tekanan dan bermain dengan seronok.” tambahnya.

Kemenangan ini membolehkan Terengganu FC mendahului Kumpulan A dengan enam mata dalam saingan Piala Malaysia.

Foto: Terengganu Football Club

Comments