Piala Malaysia: 10 pemain Terengganu FC benam Kedah 2-0 di Darul Aman

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Beraksi dengan 10 pemain bukan satu kelemahan buat pasukan finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC. Menentang Kedah di Darul Aman, dua jaringan oleh Tchetche Kipre pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan 3 mata penuh kepada anak-anak buah Nafuzi Zain daripada aksi kedua Kumpulan A ini. 

Berikut adalah lima perkara yang kami dapati daripada perlawanan ini:

#1 Sama kuat, sama hebat

Untuk separuh masa pertama, persembahan kedua-dua pasukan, Kedah dan Terengganu FC seimbang. Tiada apa yang memisahkan kedua-dua pasukan dan mereka terikat tanpa jaringan. Namun, jika dilihat dari segi corak permainan, Kedah yang bermain di hadapan penyokong sendiri menampilkan aspek serangan yang lebih baik dengan merekodkan sekitar lima percubaan tepat ke sasaran. Percubaan-percubaan itu dilakukan oleh Bauman, Edgar, Rodriguez dan Rizal Ghazali. Tetapi kekentalan Terengganu FC bertahan menyebabkan mereka gagal meraih sebarang jaringan. Terima kasih kepada kecemerlangan pertahanan tengah, Serhii Andrieiev dan penjaga gol, Ilham Amirullah. Sang penyu turut melakukan percubaan namun semuanya agak lemah dan juga tidak tepat ke sasaran. 

 

#2 Terengganu FC ditimpa musibah

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sekitar minit ke-40, pemain utama iaitu Rahmat Makasuf terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederaan. Beliau digantikan dengan Nabil. Pada penghujung separuh masa pertama pula, Farhan Roslan berjaya melepasi barisan pertahanan Terengganu dan melakukan larian pantas menuju ke arah gawang lawan. Ilham Amirullah yang sedar akan kesilapan rakan-rakannya di barisan pertahan segera keluar untuk mencabar Farhan Roslan tetapi Ilham melakukan kesilapan besar dengan melakukan terjahan kepada pemain tersebut dan beliau terus dilayangkan kad merah. 

Kesilapan itu menyebabkan Terengganu FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk baki separuh masa kedua. Selain itu, Sang Penyu kerugian satu pertukaran kerana terpaksa mengeluarkan seorang pemain untuk membawa masuk penjaga gol baharu iaitu Wan Azraie. 

 

#3 Umpanan Fayadh tidak dimanfaatkan

Farhan Roslan yang diterjah keras oleh Ilham Amirullah tidak dapat menyambung permainan. Separuh masa kedua, Aidil Sharin Sahak memasukkan Fayadh menggantikannya. Kemasukan Fayadh memberikan impak positif kepada pasukan Kedah dengan larian-larian liciknya. Acap kali berjaya masuk ke dalam kotak penalti Terengganu FC. Tetapi tiada manfaat yang diambil oleh rakan sepasukan. Kemasukan dua penyerang iaitu Zaquan Adha dan Thanabalan juga tidak memberikan apa-apa kelebihan apatah lagi untuk menghadirkan gol. 

 

#4 Gandingan Shakir – Renan longgar atau leka? 

Dalam saingan Liga Super dan Piala FA, Kedah antara pasukan yang kental bahagian pertahanannya. Lebih-lebih lagi jika beraksi di Stadium Darul Aman. Resipi utamanya adalah gandingan duo Renan Alves dan Shakir Hamzah. Namun bukan untuk aksi malam ini kerana Terengganu FC beberapa kali berjaya menembusi bahagian tengah termasuk pada babak kedua ketika Sang Penyu bermain 10 orang. Tchetche Kipre secara berseorangan berjaya melepasi mereka sekitar 2 hingga 3 kali. Gol pembukaan oleh Tchetche Kipre juga hasil kesilapan pertahanan yang tidak mengawal langsung penyerang Ivory Coast itu. Termasuk juga gol kedua. 

 

#5 Beraksi dengan 10 pemain bukan satu kelemahan Terengganu FC

Walaupun beraksi dengan 10 orang pemain, Terengganu FC telah menunjukkan disiplin dan semangat juang yang tinggi. Mereka meneruskan permainan, mengikuti perancangan jurulatih, percaya kepada rakan sepasukan dan cuba bermain seperti kebiasaan. Inilah yang ditonjolkan oleh pemain-pemain TFC. Pada satu ketika, Kedah pula yang tampak seperti bermain 10 orang. Pasukan mereka yang lebih tertekan dan tidak tersusun berbanding anak-anak buah Nafuzi Zain. 

Foto: Malaysian Football League

Comments