JDT menyukarkan diri sendiri – Benjamin Mora

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan pasukannya menyukarkan diri sendiri dengan membenarkan pasukan lawan, Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) menjaringkan dua gol sebelum kembali bangkit untuk mencipta kemenangan.

Pengendali kelahiran Mexico itu nyata tidak gembira dengan situasi berkenaan dan akan memberikan penekanan dalam sesi latihan sebelum bertemu PKNP FC di Manjung bagi aksi ke-3 saingan Piala Malaysia 2019.

“Kami gembira dapat tiga mata tetapi kami perlu lihat kembali secara terperinci, kami perlu tingkatkan dalam beberapa perkara yang menyukarkan diri sendiri. Kami perlu memperbaikinya kembali. 

“Dua jaringan tersebut memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk mengambil kesempatan. Tetapi kami bertuah kerana pasukan JDT dapat bangkit untuk menambah dua jaringan lagi.” demikian reaksi Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

Safawi Rasid. Foto: JST

Pada masa yang sama, beliau memuji permainan Safawi Rasid yang mencipta jaringan sulung dengan satu gerakan yang menarik serta merekodkan satu ‘assist’ untuk gol ketiga JDT yang dijaringkan oleh Diogo pada minit ke-48.

“Safawi menjadi pemain yang sangat diperlukan oleh JDT kerana dia mempunyai kualiti. Pemain muda yang memiliki skil, mempunyai keyakinan, dia semakin matang di setiap perlawanan dan dia sering mengambil keputusan yang tepat. 

“Kami sering bercakap kepadanya untuk menjadi lebih agresif dalam situasi ‘cut inside’ yang dia lakukan. Kadangkala dia bergelut untuk mencari ruang bagi melakukan rembatan. Namun saya beritahu kepadanya, jika ada ruang dalam 1 meter atau 1.5meter, lakukan sahaja kerana dia mempunyai kekuatan. 

“Dia mendengar dan dia juga seorang pemain berdisiplin, dan saya sangat sukakan Safawi.” ujarnya.

Selain daripada Safawi, Afiq Fazail juga bermain dengan baik dan berjaya memcipta satu ‘assist’ kepada Diogo pada awal babak kedua. Pemain muda itu turut mendapat perhatian khusus Mora dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 4-2 di Larkin, semalam.

“Afiq telah meningkat dengan banyak. Dia semakin sempurna kerana sebelum ini dia bergelut dalam situasi ‘man to man marking’ dan juga tugas defensif. Kini, dia semakin agresif, memenangi cabaran dan semakin baik permainan dengan bola kerana dia memahami permainan. Dia faham momen permainan dan membacanya dengan baik, dia seorang pemain yang bijak serta akan meningkat dengan lebih lagi. Kami bertuah memilikinya di dalam skuad. 

“Kedua-duanya bagus untuk projek JDT dan Malaysia.” tambah Mora.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments