Sumber dalaman dedahkan Matt Davies sah ‘angkat kaki’ daripada Pahang

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Sumber yang rapat dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mendedahkan pertahanan kacukan Australia-Malaysia sah telah meninggalkan pasukan tersebut.

Perkara itu dilaporkan oleh Berita Harian dan menyatakan pemergian Matt Davies daripada Pahang merupakan satu kerugian besar buat naib juara Liga Super 2019.

Terdahulu, telah kecoh di laman sosial di mana pemain berusia 25 tahun bakal mengubah haluannya dengan menyertai juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah lima musim bersama Tok Gajah.

“Segala yang ditularkan di laman sosial berkaitan Davies meninggalkan Pahang adalah benar dan skuad itu amat terasa kehilangannya,” kata sumber berkenaan.

“Segalanya berlaku terlalu pantas dan Davies yang menyertai Pahang pada tahun 2015 tidak lagi bersama Pahang apabila saingan Liga Super bermula nanti.

“Sudah pasti posisi pertahanan kanan memberi kesan terhadap pembentukan pasukan tetapi ia diharap dapat diatasi sebelum liga bermula.” tambahnya lagi.

Menguatkan lagi gosip perpindahan tersebut apabila dia didapati tidak kelihatan semasa sesi latihan dan dalam perlawanan persahabtan pra-musim yang diadakan di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Foto: FAM

Comments