Jendela perpindahan Liga-M dibuka, pasukan mula daftar pemain guna DTMS

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Jendela perpindahan pertama Liga Malaysia dibuka secara rasmi pada hari ini sehingga 15 Mac depan, dan serentak dengan itu, setiap pasukan sudah boleh mula mendaftar pemain dengan menggunakan Domestic Tranfer Matching System (DTMS) yang diperkenalkan Malaysian Football League (MFL) bermula musim ini.

Sebelum ini, pelaksanaan perpindahan pemain menggunakan sistem Sijil Perpindahan Negeri (SPN) secara manual bagi mendaftarkan pemain tempatan dan pemain import yang sedia ada bermain dalam Liga Malaysia.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan optimis pengenalan DTMS akan memberikan lebih kelancaran kepada pasukan
bertanding untuk proses pendaftaran pemain.

Sebagai rekod, pemain import yang kali pertama berhijrah ke Liga Malaysia akan
menggunakan International Tranfer Matching System (ITMS) untuk mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

“MFL sangat teruja melihat DTMS dapat dilaksanakan bermula tahun ini di mana sistem ini telah mendapat kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Dengan adanya DTMS, transaksi perpindahan pemain akan menjadi lebih telus termasuk memastikan rekod perpindahan itu lebih sistematik dan teratur. Justeru, saya percaya penambahbaikan ini akan menjadi satu perkhabaran gembira bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga kepada penyokong-penyokong bola sepak tempatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ab Ghani turut mengumumkan jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia dibuka bermula 15 Jun sehingga 12 Julai di mana beliau yakin tempoh berkenaan memberikan tempoh masa cukup kepada pasukan untuk melakukan persiapan bagi mengharungi kejohanan Piala Malaysia 2020 dan Challenge Cup 2020.

“Bagi memastikan persiapan setiap pasukan berada dalam keadaan terbaik, MFL telah menganjakkan masa jendela perpindahan pemain kedua yang dibuka pada 15 Jun sehingga 12 Julai akan datang.

“Secara tidak langsung, pasukan dapat merancang dengan lebih baik untuk
mendapatkan khidmat pemain baharu sebelum bermulanya kejohanan Piala Malaysia 2020 dan Challenge Cup 2020.

“MFL berharap agar semua pasukan dapat mematuhi garisan panduan yang ditetapkan sebelum sepak mula Liga Malaysia pada 28 Februari depan dan MFL turut mahu mengambil peluang mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua pasukan bertanding,” katanya.

Liga Malaysia akan membuka tirai pada 28 Februari depan dengan berlangsungnya perlawanan Johor Darul Ta’zim menentang Kedah dalam
perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Foto : MFL

Comments