Bukan tarik diri, tapi Selangor United dijangka bergabung dengan Sarawak

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Menerusi pendedahan oleh laman Labola Malaya pada Isnin, Selangor United dijangka membuat keputusan menarik diri daripada saingan Liga Premier 2020 berikutan krisis kewangan kritikal dan tempat mereka akan digantikan oleh Sarawak.

Sarawak menduduki tangga tercorot Liga Premier 2019 dan hasrat untuk kekal beraksi di saingan itu musim depan menerusi slot play off juga tidak kesampaian, setelah mereka tewas di tangan pasukan ‘adik’ Kuching FA lantas tersingkir ke saingan liga amatur M3.

SELANGOR UNITED TARIK DIRI, SARAWAK KEKAL DALAM LIGA PERDANA?Hanya selepas seminggu diturunkan ke Liga M3 oleh '…

Posted by La BOLA Malaya on Sunday, December 1, 2019

Khabar angin terbaru ini menimbulkan pertikaian hebat dalam kalangan penyokong, rata-ratanya menganggap Sarawak sudah dua kali gagal membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk bersaing di Liga Premier.

Pertamanya dengan menduduki tangga tercorot, keduanya tewas pula perlawanan play-off lantas mereka tidak seharusnya mendapat slot automatik menggantikan Selangor United jika benar mereka menarik diri, sebaliknya perlu ada play-off lain diadakan bagi mencari pasukan yang layak.

Begitupun daripada maklumat yang diterima Foxsports dari sumber terdekat dengan Selangor United, kisah sebenarnya adalah mereka bukan menarik diri, tetapi akan diambil alih oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bagi membolehkan kedua-dua pasukan terus kekal dalam liga professional.

“Sarawak berpendapat mereka tidak boleh bermain di liga amatur, ia sesuatu yang buruk untuk imej bolasepak mereka. Selangor United pula berdepan masalah kewangan dan sukar untuk beroperasi tanpa bajet yang mencukupi. Kita tidak mahu sekarang semua nampak ok tetapi kemudian hari banyak masalah berbangkit khususnya tunggakan gaji.

“Jadi ada cadangan daripada ‘orang kuat’ bolasepak supaya kedua-dua pasukan ini bergabung dan slot milik Selangor United itu tidak dikorbankan dan kekal milik Selangor United, cuma bermain dengan nama yang berbeza, contohnya seperti Sarawak United. Semua ini belum dimuktamadkan lagi mungkin akan perbincangan kedua-dua pihak bersama dengan penganjur liga. Kita tengoklah apa jadi,” kata sumber itu.

Sebagai rekod, Selangor United yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Melayu Selangor pertama kali layak bermain di Liga Premier setelah muncul naib juara Piala FAM 2018.

Pada musim sulung di Liga Premier, pasukan bimbingan bekas pemain Selangor Talib Sulaiman itu menduduki tangga kesembilan daripada 11 pasukan bertanding.

Foto : FAM

Comments