Jurulatih TFC akui Nor Hakim antara pemain sayap terbaik Malaysia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pemain sayap Perak FA, Nor Hakim Hassan jelas merupakan antara pemain sayap terbaik dalam negara buat masa ini.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain yang menyaksikan Nor Hakim Hassan menjadi tonggak utama pasukan Perak kendalian Mehmed Durakovic sejak dua tahun lalu. 

Musim 2018 menjadi tempoh paling cemerlang buat anak kelahiran negeri Terengganu tersebut apabila berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia, menduduki tangga ke-2 Liga Super serta mara ke suku akhir Piala FA.

Nafuzi memberikan reaksi tersebut setelah pemain berusia 28 tahun tersebut kuat dikaitkan dengan pasukannya menjelang saingan baharu bola sepak tempatan, Liga Super 2020.

Selain daripada Nor Hakim, bek kiri muda daripada pasukan Felda United FC, Arif Fadzilah turut dikaitkan dengan pasukan berpengkalan di pantai timur kendalian Nafuzi musim depan. 

Arif Fadzilah. Foto: FUFC

“Nor Hakim sudah membuktikan dia antara pemain sayap terbaik dalam negara selepas dua musim bersama Perak dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan TFC.

“Belum ada pengesahan lagi tapi kehadiran Nor Hakim dan Arif sangat dialu-alukan kerana meraka pemain yang berkualiti,” kata Nafuzi Zain seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Khabar angin bertiup kencang dimana kedua-dua pemain tersebut kuat untuk menyertai TFC sejak pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhasrat menggunakan khidmat anak jati kelahiran negeri Terengganu bagi mengharungi musim 2020.

Ia dikuatkan lagi dengan Nafuzi Zain turut mengenali baik kedua-dua pemain ini memandangkan mereka pernah bekerja di bawah satu bumbung ketika menyertai T-Team FC suatu masa dahulu.

Nor Hakim & Arif sewaktu bersamam T-Team FC pada musim 2017. Foto: T-Team FC

“Kedua-duanya merupakan pemain tonggak sejak bersama T-Team lagi.

“Sekiranya mereka berhasrat untuk kembali berbakti bersama negeri kelahiran, saya sentiasa membuka pintu untuk mereka menyertai TFC,” tambah Nafuzi lagi.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, Nafuzi menjelaskan kemasukan Nor Hakim dan Arif Fadzilah ke pasukan TFC akan diserahkan sepenuhnya kepada persetujuan daripada pihak pengurusan serta bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan.

Foto: Perak TBG

Comments