JDT II lantik bekas Pengarah Akademi Malaga CF sebagai ketua jurulatih baharu

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pasukan simpanan Johor Darul Ta’zim (JDT) atau dikenali sebagai JDT II telah mengumumkan perlantikan ketua jurulatih baharu menggantikan Ervin Boban pada hari ini.

Menurut makluman daripada laman sosial @OfficialJohor, JDT II bertindak melantik Rafael Gil Sanchez yang merupakan bekas Pengarah Akademi & Pencari Bakat kelab berpengakalan di Sepanyol iaitu Malaga CF.

Rafael Gil Sanchez, 42 tahun mempunyai pengalaman menjadi pengurus Malaga B yang bersaing dalam divisyen 3 bola sepak Sepanyol sekitar tahun 2008 hingga 2011. Beliau juga pernah diberikan peranan selaku pengurus sementara Malaga CF pada 2010 sebelum ketibaan jurulatih dari Chile, Manuel Pellegrini.

Selepas itu, Rafeal berkelana ke luar negara dengan mengambil peranan selaku pengurus pasukan Arab Saudi bawah 17 tahun (B-17) sekitar tahun 2012 hingga 2013 sebelum dinaikkan pangkat menjadi penolong pengurus kepada Lopez Caro untuk skuad kebangsaan senior Arab Saudi dari 2013 hingga 2015.

Selain itu, Rafael pernah mengambil peranan sebagai pencari bakat di England buat pasukan RCD Espanyol pada musim 2015/16.

Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata pengalaman berharga yang ada pada Rafael akan digunakan oleh pasukan Harimau Selatan untuk mengembangkan bakat pemain-pemain muda JDT serta menyediakan mereka untuk naik ke peringkat yang lebih tinggi. 

“Antara tugas utama Rafael adalah membantu perkembangan pemain muda dalam pasukan dan bermain gaya yang sama dengan skuad senior, sekali gus membolehkan kelancaran peralihan ke skuad senior. 

“JDT II akan menyaksikan kemasukan lebih ramai pemain muda pada tahun 2020 berikutan keputusan kelab untuk melepaskan beberapa pemain dan mempromosikan pemain dari Akademi.” kata Alistair.

Beberapa hari lalu, pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim telah mengumumkan akan melepaskan seramai 16 pemain ‘lebihan umur’ pasukan JDT II. Dan kekosongan itu akan digantikan dengan pemain-pemain daripada skuad JDT III dan JDT IV.

Dan pemain-pemain ini akan menjadi tanggungjawab Rafael Gil Sanchez untuk dibimbing bagi mengharungi saingan Liga Premier dan Piala Cabaran musim depan.

Foto: Malaga CF

Comments