Krisis kecederaan menjelang aksi final paksa Fadhli Shas dan Hazwan Bakri dibawa masuk

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kecederaan yang dialami pertahanan import Bruno Gabriel Soares dan beberapa pemain lain menjadi sebab utama pengendali Johor Darul Takzim II (JDT II), Ervin Boban mendapatkan khidmat dua bekas pemain kebangsaan Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri untuk memperkuatkan pasukan dalam aksi final kedua Challenge Cup 2019 menentang UKM FC pada Sabtu.

Bruno Soares terpaksa disisihkan berikutan mengalami kecederaan harmstring dan Fadhli Shas dijangka akan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Brazil itu, bergandingan dengan Adib Zainudin di pertahanan tengah.

JDT II membawa kelebihan 1-0 susulan kemenangan di Pasir Gudang menerusi jaringan Amirulhadi Zainal minggu lalu untuk aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

“Saya perlu melakukan sedikit perubahan pemain untuk memastikan pasukan tidak terjejas dengan ketiadaan Bruno. Dengan kecederaan yang dialaminya serta ada juga kecederaan ringan pada pemain-pemain lain, bantuan yang kita terima daripada JDT untuk kami menggunakan dua pemain (Fadhli dan Hazwan) memang cukup bermakna dan hadir tepat pada waktunya.

“Kehadiran mereka diharap dapat memperkuatkan pasukan baik daripada aspek serangan dan pertahanan seterusnya membantu memastikan kemenangan kepada pasukan memandangkan dua pemain ini juga cukup berpengalaman luas.

“Secara keseluruhan, saya yakin pemain-pemain saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak perlu terlalu memberi tekanan kepada mereka mengenai misi utama kita kerana sememangnya kita sangat inginkan trofi Challenge Cup ini,” jelasnya.

Terdahulu, permohonan JDT II untuk mendaftarkan Fadhli Shas dan Hazwan Bakri yang merupakan pemain skuad Liga Super JDT diluluskan oleh Malaysian Football League pada Khamis.

MFL memberitahu bahawa sejak 1 Mac lalu, mesyuarat ahli lembaga pengarah telah memutuskan tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk berpindah dari skuad utama ke “Feeder Team” atau sebaliknya.

Foto : MFL

Comments