JDT II boleh guna Fadhli Shas, Hazwan Bakri untuk final Challenge Cup 2019

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim II (JDT II) mendapat tonik terbaik menjelang aksi final kedua Challenge Cup 2019 apabila dapat menggunakan khidmat dua pemain dari JDT, Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri.

Permohonan pendaftaran dua pemain berusia 28 tahun itu telah diluluskan Malaysian Football League (MFL) berkuatkuasa Khamis (10 Oktober), tatkala JDT II memanfaatkan sebaik mungkin pindaan peraturan yang dibuat pada bulan Mac lalu.

Ini kerana peraturan sebelum ini, MFL menetapkan perpindahan di luar jendela perpindahan bagi pemain tempatan hanya boleh dibuat membabitkan pemain berusia bawah 27 tahun, namun Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL pada 1 Mac lalu telah memansuhkan peraturan itu.

Kehadiran Fadhli Shas dan Hazwan Bakri mengukuhkan peluang JDT II untuk menjulang trofi Challenge Cup 2019, di mana mereka membawa bekalan satu gol ke atas UKM FC untuk aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Cheras pada Sabtu susulan kemenangan 1-0 hasil jaringan Amirulhadi Zainal di aksi final pertama.

Sebagai rekod, Fadhli Shas dan Hazwan Bakri, kedua-duanya kehilangan tempat dalam skuad utama Harimau Selatan dan sekadar digunakan sebagai ‘sparring partner’ sahaja oleh Benjamin Mora.

Dalam pada itu, MFL dalam satu kenyataan memberitahu, sejak pindaan peraturan berkenaan had umur dibuat, sudah banyak permohonan perpindahan pemain dari pasukan utama ke ‘feeder team’ diluluskan, termasuk permohonan Terengganu FC ke TFC II pada 14 Jun lalu seramai 22 pemain.

Foto : NSTP

Comments