Kumaahran akui menjadi pemain JDT terlalu mencabar, perlu sentiasa bersaing

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pada ketika S.Kumaahran bimbang Pulau Pinang akan menggugurkannya berikutan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami ketika Sukan SEA 2017 dan mungkin tiada pasukan untuk diwakili pada 2018, ianya Johor Darul Takzim yang tampil menyelamatkan kariernya.

Bukan sahaja menawarkan tempat di dalam skuad kepada seorang pemain yang masih dalam proses pemulihan, tetapi fasiliti pemulihan JDT yang bertaraf dunia membantu Kumaahran untuk bangkit daripada kecederaan itu dan memberikannya keyakinan untuk kembali kepada prestasinya yang dulu.

“Pada awalnya selepas selesai proses pemulihan, saya memasuki latihan pertama bersama JDT II musim lalu dan tidak dinafikan memang sukar untuk kembali mendapat rentak permainan kerana sudah setahun saya tersisih dan hanya fokus kepada pemulihan.

“Tetapi selepas diberi beberapa peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama, saya semakin dapat menyesuaikan diri di atas padang dan corak permainan saya juga bertambah baik, Saya gembira untuk membantu pasukan muncul naib juara Liga Premier dan layak ke final Challenge Cup”, katanya.

Sasarannya selepas ini, mahu memikat perhatian Benjamin Mora untuk diserap ke dalam pasukan Liga Super apatah lagi peluang dilihat terbuka luas buatnya setelah Malaysian Football League menetapkan tiada had transaksi pemain di luar jendela perpindahan antara pasukan utama dan ‘feeder team’ masing-masing, tetapi mengakui menjadi pemain JDT adalah sesuatu yang cukup mencabar dan para pemain perlu sentiasa bekerja keras untuk bersaing merebut tempat.

Sebagai rekod, Kumaahran pernah disenaraikan Benjamin Mora dalam satu perlawanan Liga Super musim ini tetapi hanya diletakkan sebagai pemain simpanan.

“Setiap pemain pastinya ingin dipanggil beraksi bersama JDT cuma sekarang ini, persaingan akan lebih sengit kerana tiada lagi had perpindahan pemain termasuklah pemain import. Semua perlu menggandakan usaha termasuk saya sendiri dan bukan mudah untuk beraksi bersama pemain-pemain hebat yang lain dalam pasukan itu.

“Tetapi apabila kita mendapat peluang itu, pengalaman memang berbeza dan itulah sebenarnya yang diperlukan oleh pemain-pemain muda yang ingin melangkah lebih jauh dalam karier dan kita juga boleh tahu bagaimana rasanya beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Foto : MFL

Comments