Tiga pemain Liga Malaysia perkuat skuad kebangsaan Filipina

Khairul Nizam Khairul Nizam

Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 telah menyebabkan Liga Malaysia berehat sebentar bagi memberi laluan kepada skuad negara.

Tetapi bukan pemain tempatan sahaja yang bakal menjalankan tugas di peringkat antarabangsa, beberapa pemain yang beraksi di Liga Malaysia juga akan beraksi dalam pusingan kelayakan ini.

Dengan pengenalan kuota import dari Asia Tenggara, sudah tentu Liga Malaysia menjadi pilihan pemain-pemain yang juga beraksi bersama skuad kebangsaan di negara-negara Asean. Selain Singapura, Filipina juga mempunyai ramai pemain skuad kebangsaan mereka yang beraksi di Liga Malaysia.

Bagi perlawanan menentang China pada 15 Oktober di Stadium Pana Ad di Bacolod, Negros Occidental, skuad Azkals telah memanggil tiga pemain yang beraksi di Liga Super Malaysia untuk memperkuat pasukan.

Amani Aguinaldo (PKNP FC), Patrick Reichelt (Melaka United) dan Luke Woodland (Kuala Lumpur FA) telah dipanggil oleh Goran Milojevic bagi tugasan antarabangsa. Luke Woodland sebelum ini tidak dipanggil untuk menyertai skuad dalam dua perlawanan awal kelayakan menentang Syria dan Guam. Pemain sayap Melaka, Patrick Reichelt beraksi dalam kesebelasan utama Azkals menentang Guam dan menjaringkan satu gol dalam perlawanan yang dimenangi Filipina dengan keputusan 4-1.

Tiga pemain ini akan bersama penjaga gol Cardiff City, Neil Etheridge,Mikel Baas yang beraksi bersama AZ Alkmaar dan pemain-pemain lain yang kebanyakannya beraksi di Liga Thailand, Eropah dan juga Amerika Syarikat untuk cuba menambah kepada tiga mata yang mereka perolehi daripada dua perlawanan.

Bagi mempersiap pasukan, skuad Azkals akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Thailand, Chainat Hornbill, hari ini. Nampaknya Luke Woodland akan bertemu bekas rakan sepasukannya di Kuala Lumpur, Ryutaro Karube yang berhijrah ke pasukan Thailand itu di pertengahan musim.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments