JDT II akan lebih kompetitif kerana semua pemain mahu bermain untuk JDT

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim II (JDT II) bukan sekadar ‘feeder team’ biasa tetapi akan tampil jauh lebih kompetitif musim depan memandangkan lebih ramai pemain dari pasukan itu berpeluang diserap ke dalam pasukan Liga Super JDT pada bila-bila masa.

Demikian pendapat ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban yang berkata keputusan Malaysian Football League (MFL) menetapkan tiada had transaksi pemain tempatan dan asing di luar tempoh perpindahan antara Parent Club (pasukan utama) dan ‘feeder team’ masing-masing, membuka peluang kepada semua pemain untuk cuba tampil dengan prestasi terbaik pada setiap perlawanan.

Bukan sahaja untuk memenangi tempat dalam kesebelasan utama JDT II, tetapi juga memenangi perhatian jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Bagaimanapun, Boban mengingatkan semua pemain bukan mudah untuk mereka mendapat peluang beraksi dalam skuad sebesar JDT di mana kerja keras perlu dilakukan bagi mendapat kepercayaan beraksi di saingan yang lebih tinggi.

Katanya, persaingan sesama pemain akan menjadi lebih sengit memandangkan sebelum ini hanya lima perpindahan dibenarkan melibatkan pemain import dan sudah semestinya Benjamin Mora inginkan pemain yang benar-benar berkualiti untuk hadir membantu pasukan.

“Jika Mora inginkan mana-mana pemain daripada JDT II, tugas saya adalah memastikan pemain-pemain saya sememangnya layak dan mampu untuk bantu pasukan utama seperti JDT dan bukan sekadar suka-suka. Ini bermakna JDT II akan tampil lebih kompetitif, bukan sekadar sebuah skuad simpanan, pembangunan atau apa sahaja terma yang anda gunakan.

“Setiap pemain yang mahu merebut tempat dalam pasukan utama (JDT), mereka tahu mereka kena bekerja keras dan tahu apa kualiti yang seharusnya mereka tonjolkan. Jadi kami akan menjadi pasukan yang jauh lebih baik musim depan,” ujar Boban.

Dalam perkembangan lain, Boban menyifatkan final kedua Challenge Cup 2019 menentang UKM FC adalah final yang sebenar tanpa mahu barisan pemain berasa selesa dengan kemenangan 1-0 di final pertama, minggu lalu.

“Sudah pasti aksi yang sengit akan ditampilkan daripada pasukan kami dan UKM FC sendiri kerana inilah yang akan menentukan pasukan mana layak mendapatkan trofi itu.

“Pemain kena anggap final kedua ini sebagai perlawanan yang baru dan tidak boleh rasa mereka sudah selangkah untuk menang kerana UKM FC bila-bila masa boleh mengejar jaringan lebih banyak.

“Pastinya akan lebih banyak aksi aggresif daripada kedua-dua pasukan dan emosi pemain haruslah terkawal dalam padang kerana situasi yang tidak diingini mudah berlaku dalam perlawanan penting seperti ini,” katanya.

Foto : Johor Southern Tigers

Comments