Ketiadaan Sulaiman buka peluang buat Juzaili Samion dan Rezal Zambery buktikan kredibiliti

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketiadaan ketua jurulatih UKM FC Sulaiman Hussin yang sedang mengikuti kursus kejurulatihan (Lesen Pro AFC) selama dua minggu di Jepun, membuka peluang kepada dua penolongnya Juzaili Samion dan Rezal Zambery Yahya untuk membuktikan kredibiliti mereka, tatkala pasukan itu dalam persiapan untuk aksi final kedua Challenge Cup 2019 bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada Sabtu ini.

UKM FC tewas tipis aksi pertama 0-1 di Pasir Gudang pada 4 Oktober lalu, justeru perlu diakui ia tugas berat buat Juzaili dan Rezal Zambery yang pernah melalui pengalaman tertinggi ketika bergelar pemain,  namun mereka optimis peluang melakar kejutan tetap ada.

“Satu pengalaman yang baharu kepada kami, bukan sahaja saya tetapi juga Rezal dan kami cuba berkongsi tentang apa sahaja ilmu serta pengalaman yang kami ada untuk membantu UKM FC.

“Kami mahu bantu UKM FC melakar sejarah tersendiri dan ada sesuatu yang boleh dibanggakan, bukan sahaja kepada pasukan tetapi membuktikan golongan pelajar juga boleh bermain bola sepak dengan cemerlang.

“Bagi saya mereka ini cukup istimewa kerana mereka dikurniakan kemahiran berfikir dengan cepat selain ada kelebihan bakat bermain bola sepak justeru permudahkan lagi tugas jurulatih,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan pada Selasa.

Sebagai rekod, Juzaili Samion pada tahun 1999 pernah menjadi tumpuan selepas dia bersama Akmal Rizal Ahmad Rakhli diterbangkan ke Perancis untuk beraksi bersama pasukan kelab Perancis, FC Strasbourg dan FCSR Haguenau.

Juzailli juga sering kali dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan pada sekitar tahun 2001 hingga 2008 manakala di Liga Malaysia, dia pernah bermain untuk Pahang, UPB-My Team, Felda United sebelum mengakhiri karier bersama Sime Darby.

Sementara Rezal Zambery pula merupakan antara pemain tengah disegani pada pertengahan tahun 2000 serta mempunyai 35 caps dengan skuad kebangsaan dan pernah bermain dengan pasukan-pasukan besar seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor FC.

Rezal Zambery yang masih baru dalam dunia kejurulatihan, mengakui tekanan tetap dirasai walaupun selaku bekas pemain yang kaya dengan pengalaman, kredibilitinya cukup dihormati dalam kalangan pemain UKM FC.

“Ada masanya memudahkan kerja saya kerana pemain-pemain sentiasa patuh dan hormat terhadap arahan-arahan yang bukan saya sahaja keluarkan tetapi jurulatih lain.

“Memang satu perkara berbeza jika hendak dibandingkan ketika bergelar pemain cuma pengalaman saya yang lalu banyak membantu bagi memastikan pemain cepat tangkap apa yang kita ajar.

“Bagi final kedua, saya mahu pemain sentiasa berfikiran positif walaupun ketinggalan 0-1 dan masih ada 90 minit untuk dimainkan, kami akan pastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan oleh UKM, “ katanya.

 

Foto : MFL

Comments